Pelancong memakai payung ketika melalui Jalan Hujan di bandar Sharjah, UAE.
Di dewan bermarmar sebuah hotel mewah, pasukan pakar terkemuka berusaha mencari pendekatan baharu kepada masalah lama, bagaimana untuk menurunkan hujan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), negara Teluk kaya yang terletak di antara padang pasir terbesar di dunia.
Menurut Utusan Malaysia, usaha keras dan berjuta-juta dolar dilaburkan sejak berdekad lamanya untuk mengurangkan kemarau yang tidak berkesudahan di UAE, di mana kebanyakannya penduduk terdiri daripada golongan ekspatriat.
Meskipun pelbagai usaha dijalankan UAE , hujan masih jarang berlaku.
Namun dalam Forum Peningkatan Hujan Antarabangsa di Abu Dhabi bulan lalu, para pegawai mempunyai harapan baharu iaitu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk ‘memanggil’ hujan.
Antara inisiatif itu adalah sistem AI untuk mempertingkatkan operasi pembenihan awan menggunakan pesawat dengan menabur garam atau bahan kimia lain bagi meningkatkan berlakunya hujan.
“Program ini sudah hampir siap,” kata Timbalan Pengarah Pusat Cuaca Barat dan Air Ekstrem di Instititue of Oseanografi Scripps Universiti California San Diego, Delle Monache.
Namun, Monache mengakui bahawa AI bukanlah jalan pintas bagi UAE, tidak seperti negara-negara lain yang sudah melakukan pembenihan awan berdekad lamanya.
Pembenihan awan meningkatkan saiz titisan air, yang kemudian turun sebagai hujan.
Ia dianggarkan menambah kemungkinan berlakunya hujan sebanyak 10 hingga 15 peratus.
Tetapi jelas Monache, usaha itu hanya berkesan dengan jenis tertentu awan kumulus yang berkepul dan mungkin akan menahan hujan daripada turun jika tidak dilakukan dengan betul.
“Anda perlu lakukannya di tempat yang betul dan pada masa yang tepat. Oleh sebab itu, kami gunakan kemudahan teknologi AI,” tambah beliau.
Projek tiga tahun yang dibiayai dengan dana AS$1.5 juta (RM4.4 juta) daripada program peningkatan hujan UAE bertugas menghantar data satelit, radar dan cuaca kepada algoritma yang meramalkan di mana awan sesuai bagi pembenihan hujan terbentuk dalam masa enam jam akan datang.
Projek itu boleh mempertingkat kaedah sedia ada, di mana pesawat pembenihan awan diarahkan oleh pakar yang mengkaji imej satelit.
Ratusan penerbangan sedemikian dilakukan setiap tahun di UAE.
Menurut para pegawai, meskipun jumlah hujan sudah meningkat, ia masih jarang berlaku sehingga setiap kali ia berlaku, kanak-kanak sekolah akan bersorak dan bergegas ke tingkap untuk melihatnya.


































