Junz Wong (kiri) dan Nizam
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong menyebarkan maklumat palsu mengenai kewujudan perjanjian air bernilai RM1.5 bilion, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
Tuduhan tersebut dibuat oleh Junz melalui akaun media sosialnya di Facebook dan TikTok, yang menurut Nizam, berniat jahat serta mengelirukan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa dakwaan Junz adalah tidak berasas kerana projek berkenaan masih berada di peringkat cadangan tanpa sebarang komitmen atau kelulusan daripada Kerajaan Negeri.
“Junz Wong hanya menyalak mengenai projek yang tidak wujud. Tuduhannya ibarat menembak dalam kegelapan, dan kenyataannya adalah fitnah berniat jahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Surat Niat (LoI) yang dikeluarkan hanyalah untuk tujuan kajian dan bukan untuk menganugerahkan sebarang kontrak.
Hakikatnya, syarikat yang terlibat belum lagi menyelesaikan kajian mereka, dan tiada keputusan akhir yang dibuat.
Beliau turut menegaskan bahawa Surat Niat untuk kajian tersebut adalah dibiayai oleh syarikat sendiri dan tidak melibatkan dana awam.
Begitu juga, potensi pembiayaan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) ini
hanya satu kemungkinan jika cadangan tersebut diluluskan, Setakat ini, lantikan
SCC sebagai pemberi pembiayaan Inisiatif Pembiayaan Persendirian atau Private
Finance Initiative (PFI) belum dibuat kerana projek ini perlu diluluskan oleh Kerajaan terlebih dahulu.
“Jika benar Junz Wong mempunyai “dokumen kukuh” seperti yang didakwanya, beliau harus mengemukakan bukti yang sahih dan bukan sekadar membuat kenyataan rambang untuk mengelirukan rakyat,” tambah Nizam yang juga ADUN Apas.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap tuduhan tidak berasas tersebut dan menuntut Junz bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuatnya.
Dalam kenyataannya itu, Junz menuntut ketelusan penuh daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi dan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berhubung projek konsesi air yang didakwanya bernilai RM15 bilion yang kontroversi di Sabah, sambil menekankan keperluan kejelasan dan akauntabiliti.


































