MANILA: Gelombang haba yang melanda Filipina memaksa hampir separuh daripada sekolah di Manila ditutup hari ini, ketika negara memasuki permulaan musim kemarau.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan cuaca negara mengeluarkan amaran indeks haba, yang mengukur suhu udara dan kelembapan relatif, dijangka mencapai tahap ‘berbahaya’ di Manila serta dua lagi kawasan lain.
Pihak berkuasa memberi amaran strok haba berkemungkinan berlaku pada tahap tersebut, dan menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya mengelak terdedah terlalu lama di bawah matahari.
Gelombang haba melanda sebahagian besar wilayah di Filipina pada April dan Mei tahun lalu, menyebabkan hampir setiap hari sesi pembelajaran secara bersemuka digantung, sehingga menjejaskan berjuta-juta pelajar.
Suhu di Manila mencatatkan rekod tertinggi 38.8 darjah Celsius, pada 27 April tahun lalu.
Walaupun suhu pada Isnin dijangka hanya mencapai 33 darjah Celsius, kerajaan tempatan di Manila dan enam daerah lain mengarahkan penutupan bilik darjah sebagai langkah berjaga-jaga.
Wilayah ibu negara mempunyai lebih daripada 2.8 juta pelajar, menurut data daripada jabatan pendidikan.
Di daerah Malabon, pegawai jabatan pendidikan, Edgar Bonifacio berkata, penggantungan kelas menjejaskan lebih 68,000 pelajar di 42 sekolah.
“Kami terkejut dengan nasihat indeks haba. Kami masih belum benar-benar merasai bahangnya,” kata Bonifacio kepada AFP.
Namun, disebabkan protokol yang diguna pakai semasa gelombang haba tahun lalu, penguasa sekolah daerah mengesyorkan supaya sesi pembelajaran secara bersemuka digantung.


































