Orang ramai berkunjung di kawasan beli-belah utama di Kuil Sensoji, destinasi pelancongan popular Asakusa di tengah Tokyo.
TOKYO: Jepun sedang mempertimbang untuk menaikkan kadar Cukai Pelancong Antarabangsa, yang kini 1,000 yen (RM29.78) seorang dan dikenakan terhadap individu yang meninggalkan Jepun sebagai ‘cukai berlepas’.
Menurut Utusan Malaysia, kerajaan bercadang untuk memperluaskan tujuan penggunaan hasil cukai itu, termasuk langkah bagi menangani pelancongan berlebihan, yang menjadi masalah di banyak kawasan akibat peningkatan mendadak pelancong asing.
Ahli jawatankuasa Parti Liberal Demokratik (LDP), mula mengumpul pandangan mengenai jumlah kenaikan cukai serta mekanisme pelaksanaannya.
Dengan negara lain mengenakan cukai berlepas lebih tinggi, terdapat cadangan untuk menaikkan cukai di Jepun kepada 3,000 yen (RM89) atau 5,000 yen (RM148.80).
Pada masa ini, hasil cukai tersebut hanya digunakan untuk promosi pelancongan antarabangsa, seperti pelancong asing dan pembangunan pusat peranginan.
Sebagai langkah menangani pelancongan berlebihan, anggota jawatankuasa menjangkakan hasil cukai juga akan digunakan untuk memperluaskan kemudahan pengangkutan dan menambah baik lapangan terbang.
Cukai itu diperkenalkan pada Januari 2019 dan ditambah secara automatik pada tiket penerbangan serta kapal persiaran yang berlepas dari Jepun.
Ia bukan sahaja dikenakan kepada pelancong asing, tetapi juga rakyat Jepun yang meninggalkan negara itu.
Pada tahun fiskal 2023, hasil cukai meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada 39.9 bilion yen (RM1.9 bilion) dan dijangka meningkat kepada 49 bilion yen (RM2.4 bilion) pada tahun fiskal 2025.
Menurut Agensi Pelancongan Jepun, jumlah pelancong asing ke Jepun pada tahun lalu adalah 36.87 juta, manakala warganya yang meninggalkan negara otu adalah 13.01 juta.


































