Penunjuk perasaan menyertai perhimpunan ‘Selamatkan Perkhidmatan Awam’ anjuran Persekutuan Kakitangan Kerajaan Amerika (AFGE) di luar Capitol, Washington, DC, pada 11 Februari lepas.
SAN FRANCISCO: Seorang hakim persekutuan California mengeluarkan perintah sementara yang menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada mengarahkan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan agensi persekutuan lain melaksanakan pemecatan besar-besaran terhadap ribuan pekerja percubaan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam keputusan, Hakim Daerah AS di San Fransisco, William Alsup mendapati pemecatan besar-besaran pekerja dalam tempoh percubaan berkemungkinan melanggar undang-undang.
Beliau menegaskan, Pejabat Pengurusan Kakitangan (OPM) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi persekutuan memecat mana-mana pekerja, termasuk pekerja percubaan yang biasanya belum mencapai tempoh setahun pengalaman dalam jawatan tersebut.
Alsup mengarahkan OPM, yang berfungsi sebagai sumber manusia bagi agensi persekutuan, untuk membatalkan memo bertarikh 20 Januari dan e-mel pada 14 Februari, mengarahkan penamatan perkhidmatan pekerja percubaan.
“OPM tidak mempunyai sebarang kuasa, di bawah mana-mana undang dalam sejarah, untuk mengambil atau memecat pekerja kecuali kakitangannya sendiri,” katanya.
Keputusan itu memberikan sedikit kelegaan kepada gabungan kesatuan pekerja dan organisasi yang memfailkan saman untuk mencabar tindakan tersebut di mahkamah, minggu lalu.
Aduan yang difailkan oleh lima kesatuan pekerja dan lima organisasi bukan untung adalah antara beberapa saman yang mencabar pentadbiran untuk mengurangkan tenaga kerja persekutuan secara drastik.
Ribuan kakitangan percubaan dipecat, dan kini pentadbiran Trump menyasarkan pegawai kerjaya yang dilindungi di bawah perkhidmatan awam.
Plaintif berkata, Pejabat Pengurusan Kakitangan tidak mempunyai kuasa untuk menamatkan perkhidmatan pekerja percubaan.
Mereka juga menegaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan dakwaan palsu mengenai prestasi buruk pekerja.
Peguam kerajaan mendakwa, Pejabat Pengurusan Kakitangan tidak mengarahkan pemecatan sebaliknya hanya meminta agensi untuk menyemak dan menentukan sama ada pekerja layak untuk terus berkhidmat.


































