KOTA KINABALU: Sabah mencatat sejarah baharu dalam sektor pertanian dengan pelancaran eksport pertama nanas segar MD2 ke luar negeri.
Majlis bersejarah ini yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan di sini hari ini. Ia menandakan kejayaan inisiatif pendapatan rakyat di bawah program Usahawan Tani (IPR INTAN) yang dikendalikan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Penghantaran pertama ini akan diterima oleh Syarikat Rompin Integrated Pineapple Industries (ROMPINE), membuktikan bahawa hasil pertanian Sabah kini mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Dalam ucapannya, Dr. Jeffrey menekankan kepentingan diversifikasi pertanian bagi memastikan ekonomi pertanian negeri terus berkembang.
“Sebagai negeri yang kaya dengan sumber pertanian, kita tidak boleh bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja. Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah strategik untuk memperkenalkan diversifikasi pertanian, termasuk tanaman nanas MD2 yang berpotensi tinggi,” katanya.
Projek penanaman nanas MD2 ini bermula pada tahun 2023 dengan peruntukan RM11.04 juta daripada Kementerian Ekonomi, diikuti tambahan RM16.58 juta pada tahun 2024 bagi memperluaskan kawasan ladang. Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan RM4 juta untuk membangunkan Pusat Pengumpulan dan Pembungkusan Nanas di Kota Marudu, bagi memperkukuhkan rantaian bekalan.
Menurut beliau, LIGS yang selama ini terkenal dengan peranan dalam sektor getah, kini berjaya memperluaskan penglibatannya dalam sektor pertanian bernilai tinggi.
“Kejayaan ini adalah bukti bahawa LIGS bukan sekadar memajukan sektor getah tetapi juga berupaya membawa perubahan besar kepada pekebun kecil melalui pertanian moden,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi, LIGS, petani, serta syarikat rakan strategik seperti ROMPINE dan Una Crop yang telah memastikan kejayaan inisiatif ini.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menyokong sektor pertanian yang berorientasikan pasaran, bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan petani, tetapi juga untuk menjamin keterjaminan makanan bagi negeri dan negara.
Pelancaran eksport pertama nanas MD2 ini menandakan langkah awal Sabah dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri pertanian bernilai tinggi di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
































