Tun Musa (tengah) dan Toh Puan Faridah (empat kiri) bergambar kenangan dengan rombongan TDM.
KOTA KINABALU: Acara perbarisan sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-92 akan diadakan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1 Mac ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, tema yang dipilih ialah “Sinergi Tentera Darat dan Rakyat Aspirasi Angkatan Masa Hadapan” menekankan kepentingan hubungan erat antara rakyat dan Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Kita cuba menekankan kepentingan hubungan atau sinergi antara rakyat dan TDM, hubungan yang rapat ini amat diperlukan bagi membolehkan tentera darat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dalam mempertahankan negara.
“Selain perbarisan, beberapa acara lain turut diadakan termasuk majlis bacaan Yasin dan Tahlil serta khutbah Jumaat khas yang dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2025 di Kem Wardieburn,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada Selasa.
Menurutnya, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan perkembangan operasi-operasi dilaksanakan oleh TDM dan juga rancangan pembangunan keupayaan tentera darat khususnya Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perkembangan terkini operasi dan rancangan pembangunan keupayaan tentera darat, khususnya di Sabah dengan dua projek besar sedang dilaksanakan.
“Pertama melibatkan pembinaan Kem Unit Naungan 13 Briged termasuk 341 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Felda Sahabat, Lahad Datu.
“Melibatkan kos RM547.7 juta, projek ini telah mencapai kemajuan 8.87 peratus dan dijangka siap pada 15 Mei 2027.
“Manakala projek kedua membabitkan pembinaan Kem Markas 5 Briged dan 19 RAMD (Mekanise) di Kota Belud dengan kos RM179.75 juta.
“Projek ini baru sahaja dimulakan dengan kemajuan 5.77 peratus dan dijangka siap pada 4 Ogos 2027,” ujarnya.
Muhammad turut menegaskan bahawa selain operasi pertahanan, TDM sentiasa bersedia membantu agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam menghadapi bencana seperti banjir.
“Kita sentiasa bersedia bekerjasama dalam apa juga bentuk bagi memastikan keselamatan dan pertahanan negeri Sabah sentiasa terjamin,” jelasnya.
































