PHNOM PENH: Dua kanak-kanak Kemboja maut apabila sebutir bom tangan berkuasa roket yang dipercayai tertanam sejak perang saudara meletup berhampiran rumah mereka.
Menurut Utusan Malaysia, letupan berlaku pada Sabtu lalu di sebuah kampung terpencil di wilayah Siem Reap, barat laut Kemboja, yang pernah menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan dan pejuang Khmer Rouge pada 1980-an dan 1990-an
Mangsa terkorban merupakan sepupu, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berusia dua tahun.
Menurut laporan siasatan, mangsa sedang bermain dan menggali tanah, di mana mungkin terkena bom tangan itu sehingga menyebabkan letupan, kata Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC), Heng Ratana kepada AFP.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak maut serta-merta di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
“Perang sudah lama berakhir dan negara telah menikmati keamanan selama lebih 25 tahun, tetapi darah rakyat Kemboja masih terus mengalir akibat periuk api dan sisa perang,” katanya.
Kemalangan berlaku selepas Kemboja terpaksa menghentikan sebahagian operasi pemusnahan periuk api selama beberapa minggu apabila Washington secara tiba-tiba menggantung pembiayaan berikutan arahan Presiden Donald Trump untuk membekukan bantuan asing selama 90 hari.
21 Februari lalu, pegawai Kemboja mengumumkan pasukan pemusnah periuk api akan menyambung semula kerja pembersihan sisa tidak meletup, selepas Amerika Syarikat (AS) memberikan pengecualian untuk meneruskan pembiayaan program tersebut di negara itu.
Negara Asia Tenggara itu masih dipenuhi dengan peluru dan senjata yang tidak digunakan sejak beberapa dekad perang bermula pada 1960-an.
Selepas lebih 30 tahun perang saudaran berakhir pada 1998, Kemboja menjadi antara negara yang paling banyak dipenuhi periuk api di dunia.
Kematian akibat periuk api dan bahan letupan yang belum meletup masih kerap berlaku, dengan kira-kira 20,000 kematian sejak 1979, manakala dua kali ganda jumlah itu mengalami kecederaan.


































