LONDON: Tengkorak dan wajah seorang wanita yang hidup di Dorset sekitar 2,000 tahun lalu berjaya dilakar semula menggunakan bukti daripada sisa-sisa mayatnya.
Menurut Utusan Malaysia, tengkorak dan tulang wanita muda yang dikebumikan menghadap Kimmeridge Bay itu ditemui pada tahun 2000 akibat hakisan tebing.
Seorang ahli bioarkaeologi dari Bournemouth, Amber Manning telah berjaya menghasilkan lakaran wajah wanita yang dipercayai hidup pada abad pertama itu.
Model tersebut akan dipamerkan di Muzium Bandar Wareham mulai April ini.
Menurut Manning yang juga merupakan pelajar sarjana di Universiti Bournemouth, apabila membuat rekonstruksi, dia biasanya berimaginasi dirinya sedang melihat ke dalam dunia mereka.
Untuk mencipta kepala wanita tersebut model maya 3D tengkorak wanita itu dibina menggunakan fotogrametri, satu kaedah di mana sejumlah gambar yang diambil dari pelbagai sudut digunakan untuk mengira bentuk objek, sebelum dicetak menggunakan pencetak 3D.
“Saya kemudian mengambil kira umur, jantina, berat dan etniknya, kerana faktor-faktor ini membantu menentukan ketebalan tisu.
“Jadi, dalam kes ini melibatkan seorang wanita berusia sekitar 20 hingga 30 tahun, dengan tanda-tanda kekurangan zat makanan ketika hidupnya,” katanya.
Pembinaan digital penampilan wanita itu juga akan dipamerkan di muzium tersebut bersama maklumat mengenai proses rekonstruksi dan penggalian arkeologi serta penemuan di Kimmeridge.
Pakar Antropologi Biologi Universiti Bournemouth, Profesor Madya Dr. Martin Smith berkata, pihaknya amat gembira untuk mempamerkan dan berkongsi sebahagian penemuan mereka di Muzium Wareham.
Beliau berkata, projek penyelidikan terkini oleh universiti tersebut telah menemui pelbagai penemuan menarik dan penting yang membantu membina gambaran yang lebih terperinci dan menarik tentang kehidupan pada zaman tersebut.
Muzium Bandar Wareham, yang boleh dilawati secara percuma kini ditutup untuk musim sejuk dan akan dibuka semula pada 5 April.


































