GODSTONE: Sebuah lubang benam yang muncul di sebuah perkampungan selatan England, menelan sekurang-kurangnya satu kawasan taman dan memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk dari 30 buah rumah.
Menurut Utusan Malaysia, lubang benam yang muncul di kampung Surrey Godstone 17 Februari lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 20 meter pada hari berikutnya, menyebabkan agensi tempatan mengisytiharkannya sebagai insiden besar.
BBC melaporkan, hartanah yang dipindahkan itu dibina kira-kira tiga tahun lalu di tapak bekas kuari pasir.
Salah seorang penduduk, Noosh Miri berkata, keluarganya adalah antara yang dipindahkan.
“Kami mendengar bunyi ketukan yang sangat kuat. Ketika saya membuka pintu, bunyi seperti saya berada di dalam air terjun kerana lubang benam itu betul-betul di hadapan pintu rumah saya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Rez Mira, memberitahu, seluruh kebunnya ditelan lubang benam tersebut.
“Ia runtuh dengan cepat. Kami khuatir dinding rumah kami juga pasti akan runtuh. Kami sangat takut,” katanya.
Majlis Daerah Surrey (SCC) berkata, siasatan sedang dijalankan dan meminta orang ramai mengelak kawasan itu semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan.
“Forum Ketahanan Tempatan akan terus bermesyuarat sepanjang kejadian ini untuk memastikan segala-galanya dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” kata SCC.
SES Water berkata, pada awal pagi 18 Februari, pihaknya menyedari paip utama air pecah di Godstone High Street dan sudah berjaya memulihkan bekalan kepada hartanah yang terjejas.


































