WASHINGTON: Apple memperkenalkan telefon terbaharunya, iPhone 16e yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) bermula pada harga sekitar AS$599 (RM2,654).
Menurut Utusan Malaysia, siri terbaru ini direka untuk menarik pelanggan peringkat pertengahan dan pasaran utama seperti China dan India.
Peranti terbaru ini tidak lagi menggunakan nama SE seperti siri telefon bajet Apple sebelum ini dan kini bersaing dengan telefon android popular seperti Samsung dan Huawei yang telah menambah ciri AI dalam peranti mereka.
Ia dilengkapi cip pemprosesan Apple A18 dengan modem selular yang dibangunkan Apple sendiri, iaitu Apple C1.
Dengan sokongan cip berkuasa, peranti ini turut memberikan pengguna akses kepada sokongan kecerdasan buatan Apple Intelligence.
Versi 16e dijual lebih rendah berbanding versi termurah iPhone 16 yang dilancarkan pada September lalu dan hanya akan tersedia dalam warna hitam dan putih, manakala model iPhone 16 yang lebih mahal hadir dalam pelbagai warna terang.
Pada suku tahun lalu, jualan telefon Apple menurun manakala jualan siri telefon bajet Apple turut berkurang dari segi peratusan pendapatan keseluruhan iPhone dalam dekad terakhir.
Selain daripada tiada lensa kamera sudut lebar, ketiadaan satu butang dan paparan yang sedikit berbeza, 16e nampak serupa dengan model yang lebih mahal.
iPhone 16e akan dibuka untuk pra-tempahan di 59 negara mulai 21 Februari dengan penghantaran bermula 28 Februari.
Menurut penganalisis utama di firma perunding Creative Strategies, Ben Bajarin, iPhone 16e dijangka dapat membantu Apple di pasaran yang sensitif terhadap kos seperti Eropah dan China.
16e tidak dilengkapi dengan butang kawalan kamera yang boleh menyesuaikan tetapan kamera, yang terdapat pada siri utama iPhone 16.
Kemas kini yang dinanti-nantikan tahun ini membawa perubahan pada reka bentuknya yang berbentuk blok, menghapuskan butang utama fizikal SE dan memperkenalkan ciri Face ID Apple.
Model SE akan menjadi yang terakhir dalam siri iPhone yang menggunakan penyambung USB Type-C untuk pengecasan, memasukkan semula penyambung Lightning milik Apple dan membolehkan ia kembali ke pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Apple telah menghentikan pengeluaran model SE generasi ketiga dan iPhone 14 di EU kerana produk tersebut tidak memenuhi undang-undang tempatan yang memerlukan standard pengecasan USB Type-C.


































