WASHINGTON: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dalam kejadian banjir kilat yang melanda beberapa negeri di tenggara Amerika Syarikat (AS) susulan hujan lebat berterusan sejak hujung minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Gabenor Kentucky, Andy Beshear mengesahkan lapan kematian di negerinya dan memberi amaran jumlah korban boleh meningkat.
Dalam satu sidang media semalam, beliau menggesa penduduk supaya tidak keluar rumah bagi mengelakkan risiko lemas dalam arus deras.
“Saya minta semua orang jangan keluar memandu sekarang. Kekal di rumah dan selamatkan nyawa,” katanya.
Kentucky, Georgia, Alabama, Mississippi, Tennessee, Virginia, West Virginia dan North Carolina merupakan antara negeri yang terjejas dengan amaran ribut yang dikeluarkan hujung minggu lalu.
Kesemua negeri tersebut sebelum ini turut mengalami kemusnahan besar akibat Taufan Helene, September lepas.
Menurut laman sesawang poweroutage.us, hampir 400,000 penduduk di lapan negeri terbabit mengalami gangguan bekalan elektrik petang semalam.
Kentucky menjadi negeri paling teruk terjejas dengan beberapa kawasan menerima hujan sehingga 15 sentimeter (cm), menyebabkan limpahan air sungai yang mendadak dan mengakibatkan ratusan kenderaan terperangkap dalam banjir.
Beshear berkata, lebih 300 jalan di Kentucky ditutup akibat banjir, selain mengemukakan permohonan kepada Rumah Putih bagi mendapatkan perisytiharan darurat dan bantuan kecemasan persekutuan.
Presiden AS, Donald Trump meluluskan permohonan itu semalam dan mengarahkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk menyelaras operasi bantuan, walaupun sebelum ini beliau pernah mencadangkan agensi itu dimansuhkan.
Pihak berkuasa memberi amaran bencana ini masih belum berakhir kerana paras air sungai terus meningkat.
“Kesan banjir akan berlarutan untuk tempoh yang agak lama. Banyak sungai yang masih melimpah dan keadaan masih membimbangkan,” kata Bob Oravec, pakar kaji cuaca dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).


































