WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) tidak lagi membenarkan golongan transgender menyertai pasukan atau menerima prosedur perubatan berkaitan peralihan jantina, selaras dengan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Donald Trump.
“Tentera AS tidak lagi membenarkan individu transgender menyertai tentera dan akan menghentikan pelaksanaan atau prosedur berkaitan peralihan jantina untuk anggota tentera,” katanya dalam hantaran di X, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan itu turut memaklumkan penggantungan pengambilan individu dengan sejarah kecelaruan jantina, bersama semua prosedur perubatan yang belum dijadualkan atau dirancang untuk menyokong peralihan jantina bagi anggota tentera.
Tentera AS turut menyatakan bahawa semua kemasukan baru bagi individu dengan sejarah kecelaruan jantina digantung, bersama dengan semua prosedur perubatan tidak dijadualkan, dijadualkan, atau dirancang berkaitan pengesahan atau memudahkan peralihan jantina untuk anggota tentera.
“Individu mengalami kecelaruan jantina yang sukarela berkhidmat kepada negara kita akan dilayan dengan bermaruah dan hormat,” kata kenyataan itu.
Bulan lepas, Trump menandatangani beberapa perintah eksekutif menstruktur semula pasukan tentera, termasuk larangan terhadap individu transgender berkhidmat secara terbuka.
Trump berkata, arahan itu akan memastikan AS memiliki kuasa pertempuran terbaik di dunia dengan menyingkirkan ideologi transgender daripada pasukan pertahanan.
Arahan tersebut menyatakan bahawa identiti jantina ‘palsu’ yang berbeza daripada jantina individu tidak boleh memenuhi piawaian ketat yang diperlukan untuk perkhidmatan tentera.
Ia juga akan memastikan berakhirnya penggunaan kata ganti nama yang dicipta dan berdasarkan identiti.
Menerusi arahan tersebut, Menteri Pertahanan, Pete Hegseth diberi tempoh 60 hari untuk melaksanakan dasar baharu mengenai identiti jantina.


































