Seorang pekerja memegang seekor ayam betina yang dijual di Wabash Feed & Garden di Houston, Texas.
HOUSTON: Harga telur yang melambung tinggi mendorong rakyat Amerika Syarikat (AS) membela ayam untuk menghasilkan sendiri bekalan tersebut di rumah.
Menurut Utusan Malaysia, wabak selesema burung yang merebak di AS sejak awal tahun lalu menyebabkan lebih 21 juta ekor ayam dimusnahkan, mengakibatkan telur kini menjadi komoditi yang sangat berharga di negara itu.
John Berry, yang menguruskan sebuah syarikat ternakan di Houston melaporkan, permintaan terhadap ayam betina meningkat mendadak ketika pengguna berusaha mengatasi kekurangan bekalan telur.
Berry berkata, kebanyakan pembeli ayamnya baru pertama kali cuba menternak ayam untuk mendapatkan telur.
“Jualan ayam kami telah meningkat dua kali ganda dan mungkin akan mencecah tiga kali ganda. Kami menjual lebih 100 ekor ayam hanya dalam masa seminggu.
“Jumlah itu biasanya mengambil masa hampir sebulan untuk dijual,” katanya.
Masalah kekurangan bekalan telur yang semakin meruncing menyebabkan rangkaian pasar raya terkenal seperti Trader Joe’s dan Costco mengehadkan pembelian kepada hanya satu dozen telur bagi setiap isi rumah setiap hari.
Minggu lalu di Seattle, sebuah restoran mengalami kecurian 500 biji telur dari stor simpanannya pada waktu malam.
Beberapa bandar di Texas kini membenarkan penduduk menternak ayam di rumah selagi mereka mematuhi peraturan kesihatan tertentu.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), risiko selesema burung kepada orang awam masih rendah dan mengeluarkan garis panduan keselamatan untuk pemilik ayam ternakan di halaman rumah.