SAN FRANCISCO: Adobe melancarkan versi pertama alat kecerdasan buatan (AI) yang mampu menjana klip video serta mengumumkan kadar harga perkhidmatan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat itu bagaimanapun belum menetapkan harga khusus untuk pelanggan utama seperti studio filem dan televisyen sehingga hujung tahun ini.
Dinamakan Firefly Video Model, teknologi baharu Adobe ini akan bersaing dengan model Sora yang dibangunkan oleh OpenAI, syarikat di sebalik ChatGPT serta perkhidmatan penjanaan video dari syarikat pemula, Runway.
Meta, pemilik Facebook juga telah membangunkan model AI untuk video tetapi masih belum mengumumkan tarikh pelancarannya.
Apa yang membezakan model Adobe daripada pesaingnya ialah ia direka khas untuk membantu penghasilan klip yang boleh disunting menggunakan Premiere Pro, perisian penyuntingan video utama syarikat itu yang sering digunakan dalam industri filem dan televisyen.
Menurut Adobe, teknologi ini membolehkan pengarah atau editor memperbaiki dan memperluaskan rakaman yang telah dibuat di set penggambaran, terutamanya bagi babak yang kurang memuaskan atau perlu diperkemaskan.
Buat masa ini, perkhidmatan ini mampu menjana klip berdurasi lima saat dalam resolusi 1080p.
Walaupun tempoh ini lebih pendek berbanding klip 20 saat yang dihasilkan oleh OpenAI, Adobe menjelaskan kebanyakan klip dalam produksi sebenar biasanya hanya berdurasi sekitar tiga saat.
Dari segi harga, pengguna boleh menjana 20 klip sebulan dengan bayaran AS$9.99 (RM44.19) atau 70 klip dengan harga AS$29.99 (RM133.47).
Sebagai perbandingan, OpenAI menawarkan 50 klip pada resolusi lebih rendah dengan bayaran AS$20 (RM89.28) sebulan, manakala pelan premium AS$200 (RM892) membolehkan penjanaan video lebih panjang dan berkualiti tinggi.
Adobe turut merancang untuk memperkenalkan pelan premium khusus bagi studio filem dan pengguna yang memerlukan jumlah klip lebih banyak, dengan butiran harga akan diumumkan dalam masa terdekat.
Naib Presiden Adobe Generative AI, Alexandru Costin berkata, syarikat itu kini sedang berusaha untuk menghasilkan video dalam resolusi 4K, dengan keutamaan diberikan kepada kualiti berbanding durasi klip.
“Kami percaya bahawa pergerakan yang lancar, struktur yang kemas dan definisi yang tajam menjadikan sesuatu klip kelihatan seperti dirakam secara profesional adalah lebih penting daripada menghasilkan klip panjang tetapi tidak boleh digunakan,” katanya.


































