BEIJING: China melancarkan roket pembawa baharu, Long March 8A yang direka untuk menghantar kumpulan satelit dalam jumlah lebih besar dalam pelancaran pertamanya, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, ia sekali gus memperkukuhkan strategi Beijing untuk menyaingi dominasi jutawan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk di orbit menerusi syarikat SpaceX.
Roket Long March 8A, berlepas buat kali pertama pada pukul 5.30 petang waktu tempatan pada Selasa, dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di pulau selatan Hainan, membawa beberapa satelit orbit rendah Bumi.
Long March 8A merupakan versi yang dipertingkatkan daripada roket Long March 8 berkapasiti sederhana yang mula digunakan pada tahun 2020.
Roket baharu ini mempunyai kapasiti muatan yang lebih tinggi, iaitu sebanyak tujuh tan, membolehkan China menghantar kumpulan satelit yang lebih besar ke orbit rendah dan sederhana dalam satu pelancaran, menurut Kumpulan Korporat Sains dan Teknologi Angkasa Lepas China (CASC).
Antara penambahbaikan lain termasuk bahagian atas (upper stage) yang menjimatkan penggunaan bahan api serta memanjangkan jangka hayat satelit.
Bahagian atas itu bertindak sebagai pendorong roket tambahan yang dipasang di antara kenderaan pelancar utama dan muatan utama di bahagian atas.
China merancang untuk mempercepatkan jumlah pelancaran satelit ke orbit rendah Bumi tahun ini dengan puluhan pelancaran dijadualkan, selaras dengan usaha Beijing untuk menyamai bilangan satelit Starlink milik SpaceX.
Starlink yang dimiliki oleh Elon Musk kini mempunyai hampir 7,000 satelit aktif di orbit.


































