COLOMBO: Bekalan elektrik sedang dipulihkan secara beransur-ansur selepas gangguan bekalan di seluruh Sri Lanka menyebabkan bangunan termasuk hospital terpaksa bergantung kepada penjana.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai berkata, pemulihan bekalan mungkin mengambil masa di seluruh negara pulau itu, tetapi kemudahan perubatan dan loji penapisan air diberikan keutamaan.
Menteri Tenaga, Kumara Jayakody menyalahkan monyet sebagai punca gangguan tersebut, mendakwa haiwan tersebut menyentuh pengubah grid menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem, lapor AFP.
“Jurutera sedang berusaha memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” kata menteri itu.
Lembaga Elektrik Ceylon (CEB) berkata, gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada kecemasan di sebuah pencawang di selatan Colombo, tanpa memberikan butiran lanjut.
CEB berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk memulihkan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara secepat mungkin.
Hospital dan perniagaan di seluruh negara pulau yang mempunyai 22 juta penduduk itu terpaksa menggunakan penjana atau penyongsang.
Sri Lanka pernah mengalami gangguan bekalan elektrik ketika krisis ekonomi pada 2022.


































