LOS ANGELES: Sebuah treler membawa muatan telur terbabas di Lebuhraya I-5 di California, menyebabkan ribuan biji telur bertaburan di atas jalan dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen berhubung insiden itu, terutama ketika harga telur di Amerika Syarikat (AS) melambung tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, Peronda Lebuhraya California memberitahu, kejadian tersebut berlaku apabila treler berkenaan merempuh sebuah jejambat, menyebabkan kenderaan itu rosak teruk dan muatannya bertaburan di atas jalan.
Beberapa keping gambar dari udara menunjukkan kotak-kotak telur berselerakan di laluan utama yang menghubungkan pantai barat AS itu.
Kemalangan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, memaksa pihak berkuasa bertindak pantas mengawal keadaan.
Tidak mengambil masa lama, pengguna internet mula memberi pelbagai reaksi berhubung kejadian tersebut.
“Muatan berjuta-juta dolar,” seloroh seorang pengguna Instagram, rosiebsosodef.
Seorang lagi pengguna, momma_got_it, pula berseloroh: “Saya boleh tolong kutip semua yang masih elok, kemudian kita tengok apa boleh buat.”
Harga telur di AS dilaporkan meningkat mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, berikutan penularan wabak selesema burung yang menjejaskan bekalan di seluruh negara.
Di California sahaja, harga borong bagi selusin telur mencecah lebih AS$8 (RM38) pada akhir Januari, malah terdapat laporan mengatakan ada pengguna terpaksa membayar sehingga AS$15 (RM72) bagi jumlah yang sama.
Lonjakan harga barangan keperluan ini turut mencetuskan kebimbangan terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump, yang baru sahaja mengangkat sumpah bulan lalu dengan janji untuk mengawal kenaikan kos sara hidup rakyat Amerika.


































