SYDNEY: Pihak berkuasa Australian menggesa ribuan penduduk di utara Queensland supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi berikutan hujan lebat yang berterusan dengan air banjir mencecah lebih satu meter.
Menurut Utusan Malaysia, susulan cuaca buruk itu, seorang dilaporkan maut akibat banjir besar di utara Queensland, semalam.
Pihak berkuasa Queensland berkata, banjir besar sedang melanda Hinchinbrook Shire, kawasan dengan sekitar 11,000 penduduk yang terletak 500 kilometer (km) di utara Brisbane.
Bandar Giru, yang mempunyai 387 penduduk dan terletak berhampiran bandar Townsville, turut terjejas, kata pihak berkuasa.
Beberapa kawasan di utara negeri Queensland menerima lebih 600 milimeter (mm) hujan dalam tempoh sehari, menurut Biro Meteorologi dalam kenyataan semalam.
“Penduduk di kawasan rendah perlu berpindah ke tempat selamat di kawasan lebih tinggi. Situasi ini boleh mengancam nyawa dan harta benda,” kata pihak pengurusan kecemasan wilayah.
Ketua Menteri Queensland, David Crisafulli berkata, seorang wanita maut apabila bot perkhidmatan kecemasan terbalik dalam banjir di luar bandar Ingham, utara Townsville.
“Dijangka hujan berterusan lebih kerap berlaku, maka ambil langkah berjaga-jaga. Bersiap sedia untuk kemungkinan terburuk dan dengar nasihat. Tolong jangan pandang remeh,” katanya dalam kenyataan disiarkan di televisyen.
Kumpulan Pengurusan Bencana Townsville berkata, kebanyakan penduduk di enam kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon hitam banjir, sudah berpindah seperti yang diarahkan.
Pengerusi kumpulan itu, Andrew Robinson memberi amaran mereka yang enggan berpindah mungkin berdepan masalah bekalan elektrik selama beberapa hari dan berisiko terkandas.
Dalam pada itu, Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan Lapangan Terbang Townsville akan ditutup akibat kejadian cuaca buruk itu.


































