Angkatan Pertahanan Rakyat Mandalay (MDY-PDF) berlatih di sebuah kem di lokasi yang tidak didedahkan di utara negeri Shan, Myanmar.
NAYPYIDAW: Beberapa jalan raya di Lashio, sebuah bandar yang dahulunya sibuk di timur laut Myanmar, kini lebih sunyi daripada biasa.
Menurut Utusan Malaysia, kebanyakan sekolah ditutup, kecuali yang dikendalikan oleh sukarelawan daripada kumpulan penentang pro demokrasi dalam masyarakat.
Serangan udara selama berbulan-bulan, meninggalkan Myanmar dalam kemusnahan dan walaupun pertempuran sudah reda, bekalan elektrik masih belum pulih sepenuhnya.
Kejatuhan Lashio menandakan kali pertama junta kehilangan satu daripada 14 perintah ketenteraan serantau, sebuah bandar strategik yang terletak di sempadan dengan China.
Susulan itu, kemarahan tercetus dalam kalangan tokoh pro tentera, sehingga timbul desakan agar ketua junta, Min Aung Hlaing meletakkan jawatan.
RAKYAT TERUS MENENTANG
Tentera, yang mendalangi rampasan kuasa pada 2021 sehingga mencetuskan penentangan bersenjata, kini kehilangan kawalan ke atas sebahagian besar negara.
Ketika konflik memasuki tahun kelima, junta berada di ambang kekalahan yang lebih besar, meskipun mendapat sokongan daripada China dalam usaha untuk menghalang kejatuhannya.
Junta berdepan tentangan daripada pelbagai kumpulan, termasuk pasukan pertahanan rakyat yang dibentuk selepas rampasan kuasa untuk memperjuangkan kembali demokrasi, serta organisasi bersenjata etnik yang berjuang untuk kemerdekaan.
Saiz kumpulan-kumpulan ini, matlamat khusus dan tahap koordinasi antara mereka juga berbeza-beza.
Menurut Pemantau Keamanan Myanmar, sebanyak 95 bandar di seluruh negara kini jatuh ke tangan pelbagai kumpulan penentang.
Tahun lalu, lebih 200 pangkalan tentera dan 14 bandar di utara negeri Kachin dikuasai penentang, termasuk hab perlombongan nadir bumi di Chipwi dan Pangwa.
Di bahagian barat, hampir seluruh negeri Rakhine, termasuk ibu pejabat perintah wilayah barat, sudah jatuh.
Sementara itu, di wilayah tengah Sagaing, pasukan pertahanan rakyat berjaya menawan Kawlin dan Pinlebu, dua bandar penting bagi penghantaran bekalan ke kawasan barisan hadapan.
Dianggarkan tentera hanya menguasai 21 peratus daripada wilayah negara, termasuk kajian oleh BBC, meskipun masih mengawal bandar utama yang padat penduduk.
Pengarah program Burma di Institut Keamanan Amerika Syarikat (AS), Jason Tower berkata, walaupun tentera Myanmar berusaha mengekalkan kuasa melalui serangan udara dan pelbagai bentuk kekejaman, tahun depan berkemungkinan bakal menyaksikan kejatuhan junta.
Junta berjanji untuk mengadakan pilihan raya tahun ini, langkah yang disokong oleh sekutunya, China.
Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana pilihan raya itu akan dilaksanakan, memandangkan sebahagian besar negara kini berada di bawah kumpulan penentang.
CHINA UBAH PENDEKATAN
Apabila Lashio jatuh tahun lalu, timbul spekulasi kumpulan penentang mungkin mara ke tengah negara dan mengancam bandar utama Mandalay, yang boleh menjadi batu loncatan ke arah menawan ibu negara Naypyidaw.
Perkembangan itu mendorong perubahan dalam tindak balas China terhadap Myanmar.
China, yang mempunyai hubungan mendalam dengan kumpulan bersenjata di utara serta sekutu tentera, pada awalnya ‘merestui’ serangan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) setelah bosan dengan kegagalan junta membanteras pusat penipuan jenayah di sempadannya.
Namun, menurut penganalisis, Richard Horsey, MNDAA kelihatan mara lebih jauh daripada jangkaan China.
Beijing bertindak balas dengan menutup pintu sempadannya dan menghentikan aliran sumber kepada kumpulan bersenjata etnik di utara negeri Shan.
“Walaupun (China) tidak menyukai rejim tentera, ia lebih berhati-hati terhadap kejatuhan kuasa yang tidak teratur di Naypyidaw kerana tidak tahu apa akan berlaku seterusnya,” kata Horsey.
Kemungkinan kekacauan yang lebih besar, atau kemunculan kerajaan pro-Barat, boleh mengancam pelaburan besar China di Myanmar.
Walaupun di bawah tekanan demikian, Lashio masih berada dalam kawalan MNDAA.
China menuntut kumpulan itu menyerahkan kembali wilayah tersebut kepada junta, dan bulan ini mengumumkan gencatan senjata antara kedua-dua pihak.
Di Lashio, penduduk mula kembali ke bandar, dengan perintah berkurung tentera dimansuhkan dan mereka tidak lagi hidup dalam ketakutan ekoran serbuan tentera ke rumah mereka pada waktu malam.
Namun, kebimbangan lain masih wujud, termasuk mengenai proses keadilan memandangkan MNDAA kini memerintah di bawah undang-undang tentera.
Kumpulan itu melaksanakan hukuman mati di Laukkai, sebuah bandar lain yang dikawalnya di utara Shan, selepas perbicaraan awam.


































