Penduduk berjalan di kawasan penempatan terpencil di Kangaamiut di pantai barat Greenland.
COPENHAGEN: Sebilangan besar penduduk Greenland tidak mahu pulau mereka menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat (AS) seperti yang dibayangkan oleh Presiden, Donald Trump, menurut tinjauan pendapat yang diterbitkan kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Trump memberi isyarat mahu pulau Artik yang dipercayai menyimpan rizab mineral dan minyak yang belum diterokai itu menjadi sebahagian daripada AS.
Beliau malah mencadangkan kemungkinan penggunaan kekerasan atau tarif untuk merampas wilayah autonomi Denmark itu selepas kembali ke Rumah Putih.
Menurut tinjauan pendapat yang diterbitkan dalam akhbar harian Denmark Berlingske dan Greenland Sermitsiaq, lebih 85 peratus penduduk Greenland berkata ‘tidak’ ketika ditanya sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada AS.
Hanya enam peratus daripada mereka yang menyertai tinjauan menyokong cadangan itu manakala sembilan peratus lagi tidak dapat membuat keputusan, jelas tinjauan yang dijalankan oleh agensi Verian.
“Ia adalah tinjauan pertama yang mendapatkan pandangan sebahagian daripada penduduk Greenland dan saya fikir usaha ini sangat penting.
“Saya fikir tinjauan pendapat ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak mahu menjadi warga AS,” kata Pakar Sains Politik Universiti Copenhagen, Kasper Moller Hansen.
Kira-kira 45 peratus penduduk Greenland melihat minat Trump di pulau mereka sebagai ‘ancaman’, manakala 43 peratus lagi melihatnya sebagai ‘peluang’ sementara 13 peratus lagi tidak membuat keputusan.
Tinjauan pendapat itu mengumpulkan pendapat daripada 497 responden berumur 18 tahun ke atas antara 22 dan 26 Januari lalu dan mempunyai margin ralat 1.9 hingga 4.4 mata peratusan.
Greenland kini mempunyai sekitar 57,000 penduduk.
Para pegawai di Greenland, yang sangat bergantung kepada Denmark untuk mendapatkan subsidi, telah lama mendesak kemerdekaan tetapi menyatakan mereka terbuka untuk menjalankan perniagaan dengan AS.
Sehari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden, Perdana Menteri Greenland, Mute Egede menegaskan bahawa penduduk wilayah itu tidak mahu menjadi sebahagian daripada AS.


































