James (tengah) bersama sebahagian pegawai penjara dan tetamu menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutanTahun Baharu Cina 2025.
KOTA KINABALU: Program Outreach dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani dengan tema “Kepulangan Yang Dinanti” diadakan hari ini sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan memberikan peluang kedua kepada banduan untuk memulakan kehidupan baru.
Acara ini bertepatan dengan semangat sambutan Tahun Baru Cina 2025, yang menekankan nilai ihsan, kemanusiaan dan perpaduan masyarakat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, program ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mendukung prinsip Madani dalam membina masyarakat harmoni dan inklusif.
“Ia adalah platform penting untuk memulihkan hubungan kekeluargaan, membuka peluang pekerjaan, serta membina masa depan yang lebih baik bagi prospek yang terlibat,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini hari ini.
Program PBSL tahun ini menyaksikan pelepasan 115 prospek dari seluruh Sabah yang telah menjalani sekurang-kurangnya sepertiga daripada tempoh hukuman mereka di penjara. Mereka ini telah mengikuti program pemulihan yang dirancang oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan dalam komuniti.
“Sempena perayaan Tahun Baru Cina, kita memberi ruang kepada prospek ini untuk kembali ke pangkuan keluarga dengan harapan dan semangat baru,” tambah beliau.
Pelbagai inisiatif telah dirancang untuk memastikan prospek yang dilepaskan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Antaranya termasuk latihan teknikal, vokasional, kursus digital, serta perkhidmatan hospitaliti yang dijalankan dengan kerjasama GiatMARA, HRD Corp, Persatuan Hotel Sabah dan NGO teknologi.
“Kerjasama dengan majikan tempatan juga sedang diperluaskan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada prospek, agar mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang produktif,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk menerima prospek dengan tangan terbuka dan menghapuskan stigma terhadap bekas banduan. Usaha ini disokong melalui program kesedaran awam dan kerjasama dengan NGO serta badan korporat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kepada prospek, masa depan anda cerah jika anda berani untuk berubah. Setiap langkah kecil yang anda ambil mencerminkan tekad anda untuk menjadi individu yang lebih baik,” ujarnya memberi semangat kepada para prospek.
Beliau turut memuji Jabatan Penjara Malaysia yang kini memainkan peranan penting sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan (CHCDC). Jabatan ini tidak lagi hanya dilihat sebagai tempat hukuman, tetapi juga pusat pemulihan dan intervensi.
“Setiap usaha yang dijalankan oleh pegawai penjara adalah amat mulia dan memberi impak besar dalam pembangunan masyarakat. Saya ucapkan terima kasih atas dedikasi anda,” katanya lagi.
Program ini turut mendapat sokongan dari agensi kerajaan, NGO dan sektor korporat yang menyediakan peluang pekerjaan untuk prospek. Beliau berharap kerjasama ini akan terus berlanjutan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
“Tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia atas kejayaan program ini. Kepada prospek yang kembali ke pangkuan keluarga, manfaatkanlah peluang ini sebaiknya. Ingatlah, setiap langkah ke arah kebaikan adalah langkah yang diberkati.”


































