PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya empat orang maut dalam insiden rempuhan di Kemboja selepas orang ramai berkumpul di rumah hartawan tempatan untuk menerima sampul merah Tahun Baharu Cina berisi wang, kata polis.
Menurut Utusan Malaysia, gambar dan rakaman yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan ratusan orang menolak ke arah pintu pagar besar rumah agam milik Sok Kong, sekutu rapat bekas Pemimpin Kemboja, Hun Sen di pusat bandar Phnom Penh.
“Hartawan Sok Kong pagi ini memberikan hadiah dan ramai orang datang ke rumahnya, berharap untuk menerimanya.
“Sesetengah warga emas yang mengalami masalah kesihatan terjatuh ketika mereka menolak untuk mendapatkan hadiah itu dan setakat ini empat orang iaitu dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia.
“Lima orang lagi sedang menerima rawatan di hospital,” kata jurucakap Polis Phnom Penh, Sam Vicheka.
Tidak jelas berapa banyak wang dalam setiap angpau merah yang sering diberikan oleh keluarga kaya di Kemboja itu menjelang Tahun Baharu Cina.
Sok Kong, yang mengaut keuntungan besar dalam industri petrol dan membina empayar hiburan serta perhotelan adalah antara individu terkaya di Kemboja.
Media tempatan melaporkan bahawa Gabenor Phnom Penh dan Sok Kong berjanji untuk memberikan sejumlah AS$3,700 (RM16,442) kepada keluarga setiap orang yang meninggal dunia, dan sekitar AS$1,000 (RM4,443) akan diberikan kepada setiap orang yang cedera.


































