Anggota penyelamat memantau keadaan deretan rumah tepi pantai yang hangus dijilat api di Malibu, California.
LOS ANGELES: Kebakaran di Los Angeles terus mengganas dengan dengan angin kencang diramal kembali di Palisades dan Eaton yang bakal menyaksikan api di kedua-dua kawasan ini merebak semula dan mencetuskan bencana baharu.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai bomba di Los Angeles berdepan masalah serius ketika cuba mengawal kebakaran di puluhan kawasan yang mengancam bandar itu kerana isu bekalan air yang masih berterusan.
AMARAN CUACA BURUK
Gabenor California, Gavin Newsom memberitahu CNN, bandar raya itu menghabiskan semua sumber yang ada untuk pemadaman dan pili bomba juga sudah digunakan sepenuhnya.
Pada masa ini, terdapat lebih enam juta orang di bawah ancaman kebakaran kritikal termasuk bandar Riverside, San Bernardino, Irvine dan Oxnard.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran satu lagi keadaan cuaca yang sangat berbahaya di seluruh utara Los Angeles, meminta penduduk bersiap sedia untuk perintah pemindahan kebakaran hutan baharu, dengan angka kematian rasmi akibat kebakaran dijangka meningkat.
Los Angeles dan sebahagian daerah Ventura di utara berdepan amaran ‘risiko ketara kebakaran cepat merebak’ akibat angin Santa Ana yang berkelajuan sehingga 120 kilometer sejam.
“Penamaan ‘situasi cuaca yang sangat berbahaya’ jarang digunakan dan direka oleh ahli meteorologi untuk memberi isyarat keadaan bahaya yang sangat meruncing. Angin itu diramalkan hampir menjadi ribut taufan di beberapa kawasan.
“Saya tidak mahu orang mula fikir semuanya sudah baik sekarang. Semuanya belum OK. Ia masih sangat berbahaya untuk 24 jam akan datang,” kata Sheriff Daerah Los Angeles, Robert Luna dalam sidang akhbar semalam.
LANCAR PETA MAYA
Los Angeles County melancarkan peta maya interaktif bagi membantu mangsa kebakaran hutan untuk mendapatkan perkembangan terkini keadaan rumah mereka.
Pengerusi Lembaga Penyelia Daerah, Kathryn Barger dalam siaran berita berkata, peta maya itu boleh didapati di laman web daerah, lengkap dengan foto dan kod warna yang menunjukkan tahap kerosakan pada rumah penduduk yang dipindahkan akibat kebakaran Eaton.
“Pengundi saya perlu mengetahui skop apa yang berlaku kepada hartanah mereka supaya mereka boleh mula memohon bantuan dan merancang proses pemulihan di kediaman mereka. Peta ini adalah sumber maklumat berguna yang dipercayai.
“Rumah bertanda hitam tidak mengalami kerosakan, manakala kod hijau, kuning, oren dan merah memberi petunjuk tentang tahap kemusnahan berbeza yang dialami,” kata kenyataan itu.
SCE DISAMAN
Sementara itu, syarikat utiliti elektrik Los Angeles, Southern California Edison (SCE) disaman atas dakwaan peranannya dalam memulakan satu daripada kebakaran di Los Angeles.
Jeremy Gursey yang kehilangan rumahnya di kawasan kejiranan Altadena di Eaton, mendakwa dalam tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi LA County bahawa syarikat itu bertanggungjawab memulakan kebakaran tersebut.
SCE berulang kali menafikannya dan pegawai tempatan juga berkata, mereka masih belum menentukan punca kebakaran, walaupun mengumumkan sedang menyiasat menara penghantaran elektrik di Eaton Canyon sebagai tapak kemungkinan punca kebakaran, menurut Los Angeles Times.
Gursey memetik bukti gambar yang diambil oleh penduduk Altadena, Jennifer Errico dan Marcus Errico yang menunjukkan api kecil di bawah talian penghantaran yang melalui Eaton Canyon.
“Saya melihat cahaya di lereng bukit betul-betul di atas rumah kami dan apabila saya semakin dekat, saya dapat melihat di seberang kami di lereng bukit di Eaton Canyon, terdapat satu siri menara pengubah dengan talian elektrik yang merentang ke pergunungan dikelilingi cincin api kecil.
“Saya tidak boleh mengatakan secara pasti talian kuasa yang menyebabkannya. Tetapi saya boleh katakan dengan pasti bahawa kebakaran pertama terletak betul-betul di pinggir Altadena dan Pasadena di Eaton Canyon, di situlah kebakaran bermula.
“Ia berada di bawah menara itu pada malam Selasa. Ia bermula sebagai api kecil di bawahnya dan dalam masa 10 minit, seluruh lereng bukit itu dijilat api,” jelasnya.
SCE dalam satu kenyataan berkata, semakan litar dan talian penghantaran di kawasan Eaton Canyon menunjukkan peralatan elektriknya tidak mungkin menyebabkan kebakaran.
“Analisis itu menunjukkan tiada gangguan atau anomali operasi elektrik dalam tempoh 12 jam sebelum masa mula kebakaran yang dilaporkan sehingga lebih daripada satu jam selepas masa mula kebakaran yang dilaporkan,” kata utiliti itu.
SCE enggan menjawab permintaan untuk mengulas pada hari Isnin mengenai tuntutan mahkamah itu.
Saham syarikat induk SCE, Edison International, (EIX) jatuh 10 peratus dan merudum sehingga 30 peratus sepanjang minggu lalu kerana pelabur bimbang syarikat itu mungkin terpaksa menanggung tanggungjawab kewangan untuk kebakaran tersebut.
Syarikat utiliti lain yang didapati bertanggungjawab telah membayar kos yang tinggi, antaranya Pacific Gas and Electric yang memfailkan muflis pada 2019 selepas dikaitkan dengan beberapa siri kebakaran hutan di California.
Peguam, Richard Bridgford yang mewakili Gursey dalam tuntutan mahkamah yang difailkan Isnin lalu berkata, kegagalan syarikat itu menyahtenagakan wayar walaupun amaran angin tahap merah dikeluarkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menjadikan SCE berkemungkinan mencetuskan punca kebakaran.
































