Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Radu Dragusin (kiri) bersaing dengan tonggak tengah Arsenal, Declan Rice dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London hari ini.
LONDON: Arsenal bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 sekali gus menyalakan semula harapan untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam aksi pagi ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu lagi perlawanan, Alexander Isak membantu kemenangan 3-0 Newcastle ke atas Wolves untuk mendaki ke tangga keempat liga manakala kepulangan David Moyes ke Everton hanya menyaksikan pasukannya tewas 1-0 kepada Aston Villa.
Kemenangan Arsenal di Stadium Emirates itu menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan dan meletakkan anak-anak buah Mikel Arteta empat mata di belakang Liverpool yang sebelum ini seri 1-1 dengan Nottingham Forest.
Son Heung-min meletakkan Tottenham di depan seawal minit ke-23, namun tuan rumah menyamakan kedudukan 15 minit selepas itu bole tandukan Gabriel terkena Dominic Solanke sebelum melantun semula untuk jaringan sendiri.
Kedudukan terikat itu tidak lama apabila Leandro Trossard merembat untuk memimpin perlawanan menewaskan penjaga gol baharu Spurs, Antonin Kinsky.
Pasukan kendalian Arteta kini mengumpul 43 mata selepas 21 perlawanan dan ketinggalan empat mata di belakang Liverpool yang masih berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Keputusan
Everton 0 Aston Villa 1
Leicester 0 Crystal Palace 2
Newcastle 3 Wolves 0
Arsenal 2 Tottenham 1

































