JAKARTA: Indonesia merancang untuk mengeluarkan peraturan menetapkan umur minimum bagi pengguna media sosial sebagai langkah melindungi kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, rancangan itu berikutan keputusan Australia untuk melarang pengguna bawah 16 tahun daripada mengakses media sosial, dengan denda dikenakan kepada syarikat teknologi seperti Meta serta TikTok jika gagal menghalang akses tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi Indonesia, Meutya Hafid tidak menyatakan umur minimum yang ditetapkan di negara itu.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas membincangkan rancangan tersebut dengan Presiden Prabowo Subianto, pada Isnin lalu.
“Kami berbincang tentang bagaimana untuk melindungi kanak-kanak dalam ruang digital.
“Presiden berkata mahu meneruskan rancangan ini. Beliau sangat menyokong bagaimana perlindungan kanak-kanak seperti ini akan dilakukan dalam ruang digital kami,” katanya dalam video dimuat naik di saluran YouTube pejabat presiden.
Penembusan internet di Indonesia, dengan kira-kira 280 juta penduduk, mencapai 79.5 peratus pada 2024, menurut kajian oleh persatuan penyedia perkhidmatan internet negara itu.
Tinjauan itu menunjukkan 48 peratus kanak-kanak bawah 12 tahun mempunyai akses kepada internet, dengan sebahagian mereka menggunakan Facebook, Instagram dan TikTok.
Ia juga mendapati penembusan internet adalah 87 peratus dalam kalangan pengguna Gen Z, iaitu mereka yang berusia 12 hingga 27 tahun.