Penyerang Arsenal, Kai Havertz menutup mukanya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Manchester United dalam saingan Piala FA di Stadium Emirates, London, semalam.
LONDON: Arsenal perlu segera menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan sekiranya bercita-cita untuk menjadi pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
Menurut Utusan Malaysia, masalah di barisan hadapan ketara buat The Gunners ketika mereka ditunjukkan jalan keluar oleh Manchester United di pusingan ketiga Piala FA, semalam.
Arsenal tewas pada penentuan penalti selepas permainan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan kapten United, Bruno Fernandes dan gol penyamaan tuan rumah oleh Gabriel.
Arsenal mempunyai kelebihan selepas Diogo Dalot dibuang padang di awal babak kedua dan diberikan sepakan penalti kontroversi oleh pengadil, namun sepakan Martin Odegaard diselamatkan oleh Altay Bayindir.
Dalam penentuan sepakan penalti, Bayindir sekali lagi muncul wira United apabila menafikan sepakan Kai Havertz.
“Sangat pelik apabila anda gagal memenangi perlawanan. Penguasaan, kelebihan pemain dan semuanya sudah dilakukan untuk memenanginya.
“Kami tidak mendapat apa yang sepatutnya, tetapi masalah utamanya ialah gagal menjaringkan gol. Sepatutnya kami menjaringkan lebih banyak gol dengan situasi, peluang, penalti yang ada, tetapi tidak dilakukan,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Sebelum perlawanan, Arsenal belum tewas dalam 10 aksi Liga Perdana Inggeris terakhir mereka dan merapatkan jurang dengan pendahulu, Liverpool kepada enam mata walaupun bermain lebih satu perlawanan.
Namun selepas tersingkir daripada Piala FA, yang hadir selepas tewas 2-0 kepada Newcastle pada separuh akhir pertama Piala Liga, menyaksikan peluang Arsenal menjulang trofi musim ini semakin pudar.
Gabriel Jesus yang diusung keluar di babak pertama dijangka berehat panjang kerana kecederaan lutut, menyertai Bukayo Saka yang turut berehat panjang.































