Anwar Ibrahim bertemu Mohamed Jameel Al Ramahi di Abu Dhabi, UAE, semalam. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan hari kedua beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan mengadakan pertemuan bersama syarikat gergasi negara berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, pertemuan tertutup itu melibatkan tiga pengurus tertinggi syarikat tenaga UAE, Masdar dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).
Pertemuan Anwar dimulakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masdar, Mohamed Jameel Al-Ramahi, diikuti Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al-Nahyan dan Pengarah Urusan serta CEO Mubadala, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak.
Ketiga-tiga pemimpin mewakili syarikat milik kerajaan yang terlibat langsung dalam pelbagai aktiviti pelaburan termasuk sektor tenaga, teknologi, dan pusat data.
Pertemuan berkenaan sebagai usaha meneruskan kecemerlangan kerjasama yang dicapai semasa lawatan Perdana Menteri terdahulu yang berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 bilion).
Ia juga sebagai lembaran baharu kerjasama perdagangan dan pelaburan menjelang berkuat kuasa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang akan dimeterai dalam lawatan kerja kali ini.
Perbincangan dijangka akan memberi fokus kepada hubungan dua hala serta peluang meneroka tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan tenaga serta kecerdasan buatan selain pusat data yang menjadi kepentingan bersama.
Kunjungan Perdana Menteri kali ini merupakan jemputan rakan sejawat dari UAE Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi.
Anwar tiba di sini sejak kelmarin bagi lawatan kerja selama tiga hari dan akan menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025.
Anwar juga akan menyertai dialog bertajuk ‘ASEAN Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’ selain menghadiri majlis Anugerah Zayed Hadiah kelestarian Zayed dan Forum Youth 4 Sustainability.
Ia merupakan lawatan kedua Anwar ke UAE sejak 2023 dan kunjungan pertama beliau ke luar negara sejak memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam lawatan kali ini, pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) bertujuan membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama antara dua negara.
Turut serta dalam lawatan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.


































