SHANGHAI: Seorang lelaki dari Shanghai terkejut apabila mendapati pangsapuri yang disewakannya dua tahun lalu telah dijadikan reban ayam sehingga kediaman itu rosak teruk dan tidak dapat dibaiki.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki itu mengeluarkan semua wang simpanan untuk membeli dan mengubah suai rumah tersebut dan kemudian menyewakannya untuk mendapat keuntungan kecil.
Tetapi baru-baru ini dia dimaklumkan oleh jirannya terdapat bunyi aneh dan bau busuk dari rumah itu.
Kerana menerima sewa bulanan tepat pada masanya, lelaki itu tidak memeriksa flat itu sehinggalah pada bulan lalu dia terkejut apabila mendapati rumahnya itu dipenuhi ayam yang berkeliaran dan terbang di sekitar kediaman itu.
“Ia sangat busuk. Kedua-dua lantai dan dinding musnah teruk. Ia memerlukan baik pulih dan perlu dihias sepenuhnya, jika tidak, tiada siapa boleh tinggal di sana,”kata pemilik rumah yang berang kepada Dianshi News.
Tuan rumah itu turut mengadu bayaran yang diterima daripada penyewa sejak dua tahun lalu tidak mencukupi untuk menampung kos pengubahsuaian yang diperlukan dan sempat meminta nasihat dalam talian tentang cara untuk menghadapi situasi tersebut.
Salah seorang jiran lelaki itu, seorang wanita bernama Wu, memberitahu pemberita, dia dan jiran lain telah mengadu kepada pentadbiran bangunan mengenai bau busuk yang keluar dari rumah itu, tetapi penyewa hanya menutup tingkap.
“Saya sangat sedih kerana bekerja keras untuk menghias rumah ini tetapi ia rosak seperti ini ketika kali pertama saya menyewakannya,” keluh pemilik rumah yang menghubungi polis selepas mengetahui keadaan itu.
Dari segi undang-undang, tuan rumah boleh membawa penyewa ke mahkamah dan menuntut pampasan untuk kerosakan besar pada kediamannya tetapi tiada jaminan usaha itu akan berhasil.


































