Anggota bomba memadam kebakaran hutan yang memusnahkan kediaman di kawasan Altadena di daerah Los Angeles, California.
LOS ANGELES: Peramal cuaca di Los Angeles menjangkakan angin kencang akan kembali menjelang hujung minggu, mengancam untuk memburukkan kebakaran hutan yang sudah meragut 11 nyawa dan memusnahkan lebih 10,000 struktur bangunan di kawasan itu.
Menurut Utusan Malaysia, jumlah kematian dijangka meningkat apabila keadaan sudah cukup selamat untuk anggota bomba menjalankan pencarian dari rumah ke rumah.
Amaran merah yang diumumkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menunjukkan angin sederhana hingga kuat dan kelembapan rendah akan berterusan ketika lima kebakaran marak di seluruh metropolis itu.
Ahli Kongres California, Judy Chu berkata, perubahan kepada sistem insurans diperlukan untuk memastikan pemilik rumah mendapat perlindungan secukupnya.
Perintah berkurung semalaman berkuat kuasa di kawasan Pacific Palisades dan Eaton.
Dalam pada itu, Gabenor California, Gavin Newsom menggesa siasatan bebas terhadap kehilangan tekanan air kepada pili bomba tempatan dan laporan ketiadaan bekalan air dari Takungan Santa Ynez yang menyukarkan lagi usaha memadam kebakaran.
Tindakan itu dibuat selepas ribuan penduduk berang dengan tindak balas lemah pegawai, terutamanya melibatkan beberapa siri penggera pemindahan palsu dan isu pili bomba kering ketika anggota bomba sedang memerangi api yang marak.
“Kami memerlukan jawapan untuk memastikan keadaan ini tidak berulang dan kami mempunyai setiap sumber yang tersedia untuk memerangi kebakaran besar ini,” katanya.
Los Angeles Times melaporkan, Takungan Santa Ynez di Pacific Palisades telah ditutup untuk pembaikan ketika kebakaran yang memusnahkan ribuan kediaman bermula.
“Walaupun bekalan air daripada pili bomba tempatan tidak direka untuk memadamkan kebakaran hutan di kawasan yang luas, kehilangan bekalan daripada kemudahan itu berkemungkinan menjejaskan usaha untuk melindungi beberapa rumah dan koridor pemindahan,” katanya.
Menurut Penolong Syerif Daerah Los Angeles, Myron Johnson kira-kira 100,053 penduduk kekal di bawah arahan pemindahan dalam kebakaran hutan di Palisades, Eaton, Hurst, Kenneth dan Lidia.
Johnson turut memaklumkan pihakya membuat 18 tangkapan berhubung aktiviti jenayah berkaitan kebakaran di Eaton dan Palisades.
“Tuduhan termasuk rompakan, pecah rumah, mencuri identiti, memiliki alat pecah rumah dan memiliki narkotik. Seorang suspek berada dalam parol aktif dan turut didakwa memiliki senjata api tersembunyi,” katanya.
Tambah beliau, perintah berkurung yang digubal di kawasan kebakaran Palisades dan Eaton kekal berkuat kuasa untuk meningkatkan keselamatan awam, melindungi harta benda dan mencegah rompakan di kawasan di mana penduduk telah dipindahkan.


































