SEOUL: Kotak hitam yang menyimpan data penerbangan dan perakam suara kokpit untuk penerbangan Jeju Air yang terhempas dan mengorbankan 179 orang Disember lalu, dilaporkan berhenti merakam empat minit sebelum bencana itu berlaku, lapor Kementerian Pengangkutan.
Menurut Utusan Malaysia, Boeing 737-800 membawa 181 penumpang dan anak kapal itu dalam penerbangan dari Thailand pada 29 Disember apabila ia tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Muan dan meletup selepas merempuh penghadang konkrit.
“Analisis mendedahkan bahawa kedua-dua data CVR dan FDR tidak direkodkan dalam tempoh empat minit sebelum pesawat berlanggar dengan dinding konkrit,” kata Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan, merujuk kepada dua peranti rakaman itu.
Lokasi penghadang di hujung landasan yang dibina untuk membantu pendaratan pesawat didakwa memburukkan lagi nahas tersebut.
“Rancangan sudah disediakan untuk menyiasat punca kehilangan data semasa siasatan kemalangan yang sedang dijalankan,” tambah kenyataan itu.
Penyiasat Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) masih menyiasat punca nahas pesawat Jeju Air 2216, yang mengejutkan dunia ketika pengakhir 2024 dengan tugu peringatan didirikan di seluruh negara.
Siasatan awal menunjukkan serangan burung, gear pendaratan yang rosak dan halangan landasan sebagai isu yang mungkin menjadi punca insiden itu.
Juruterbang memberi amaran tentang serangan burung sebelum berundur dari pendaratan pertama, kemudian terhempas pada percubaan kedua dengan gear pendaratan tidak kelihatan.


































