SEOUL: Syarikat penerbangan Korea Selatan, Jeju Air, akan mengurangkan 1,900 penerbangan domestik dan antarabangsa menjelang Mac, bagi meningkatkan pemeriksaan keselamatan susulan nahas pesawat di Lapangan Terbang Muan, Selatan Jeolla pada 29 Disember lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Sokongan Pengurusan Jeju Air, Song Kyung-hooo berkata, pengurangan penerbangan antarabangsa akan tertumpu pada laluan utama yang kerap digunakan, seperti ke Jepun dan Asia Tenggara.
“Kami sedang menjalankan prosedur pentadbiran yang diperlukan. Setelah semuanya selesai, kami akan membimbing penumpang yang membuat tempahan untuk menempah penerbangan alternatif pilihan mereka,” katanya semasa sidang media di Seoul, semalam.
Walaupun laluan tertentu tidak didedahkan, syarikat penerbangan itu berusaha meminimumkan kesulitan penumpang dengan memfokuskan pengurangan pada laluan antarabangsa dengan lebih daripada dua penerbangan harian.
Laluan utama Jeju Air merangkumi Tokyo, Osaka dan Fukuoka di Jepun serta Da Nang di Vietnam.
Pengurangan penerbangan domestik dijangka bermula seawal minggu depan, manakala bagi antarabangsa pada minggu ketiga Januari.
Sepanjang operasi musim sejuk, Jeju Air merancang untuk mengurangkan sehingga 15 peratus daripada jumlah penerbangannya.
Sebelum ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu mendedahkan kira-kira 67,000 tempahan, 33,000 untuk domestik dan 34,000 penerbangan antarabangsa, dibatalkan sejurus selepas tragedi sehingga 30 Disember.


































