Majistret Tania D’Amelio (tengah) membaca keputusan Mahkamah Agung Keadilan (TSJ) Venezuela terhadap TikTok di bangunan TSJ di Caracas, pada Isnin lepas.
CARACAS: Mahkamah Agung Venezuela mendenda TikTok sebanyak AS$10 juta (RM44.7 juta) kerana dituduh gagal mengawal penyebaran cabaran tular yang menyebabkan kematian tiga kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Tania D’Amelio berkata, syarikat itu mempunyai tempoh lapan hari untuk membayar denda kepada Suruhanjaya Komunikasi Nasional (Conatel).
Menurutnya, wang itu akan digunakan untuk mewujudkan dana khas bagi membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat dalam cabaran tular berkenaan.
D’Amelio turut mengarahkan platform media sosial itu membuka pejabat di negara tersebut untuk mewakili syarikat mereka.
Bagaimanapun, mahkamah tidak menyatakan mengenai kesan bakal ditanggung TikTok, sekiranya ia gagal mematuhi keputusan tersebut.
November lalu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berkata, sekurang-kurangnya dua kanak-kanak meninggal dunia selepas terlibat dalam trend menyedut bahan kimia atau pengambilan ubat anti kegelisahan tanpa tidur.
Keputusan mahkamah yang dibacakan oleh D’Amelio pada Isnin menyatakan, TikTok tidak melaksana langkah sewajarnya untuk mencegah penularan kandungan berkaitan cabaran tular, yang melanggar sistem undang-undang di Venezuela.
Keputusan itu dibuat selepas Pergerakan Bolivarian Keluarga Aristobulo Isturiz memfailkan rayuan, mendakwa cabaran tular memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.
Mahkamah menerima rayuan untuk perlindungan tersebut selepas Maduro menuntut TikTok menghapuskan kandungan berkaitan cabaran tular.
Kerajaan Venezuela sebelum ini sudah mengeluarkan sekatan terhadap platform media sosial, termasuk menggantung akses ke platform X selama 10 hari.
Namun, ramai rakyat Venezuela masih boleh mengakses X dengan menggunakan Rangkaian Peribadi Maya (VPN) untuk menyembunyikan alamat IP mereka.


































