Ejen Peronda Sempadan AS menahan pemohon suaka selepas menyeberangi kawasan terpencil di sempadan AS-Mexico, berhampiran Mata Air Panas Jacumba, California, pada 19 September lepas.
MEXICO CITY: Mexico sedang membangunkan aplikasi telefon bimbit untuk membolehkan pendatang memberi amaran kepada ahli keluarga dan konsulat tempatan, jika mereka merasakan akan ditahan oleh Jabatan Imigresen Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap ancaman Presiden terpilih, Donald Trump untuk melaksanakan pengusiran secara besar-besaran selepas memegang jawatan pada 20 Januari.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Mexico, Juan Ramon de la Fuente berkata, aplikasi itu dilancarkan untuk ujian berskala kecil dan kelihatan berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, ia boleh membolehkan pengguna menekan tab yang akan menghantar pemberitahuan amaran kepada ahli keluarga dan konsulat Mexico yang terdekat.
De la Fuente menyifatkan aplikasi itu sebagai sejenis butang panik dan dijangka dilancarkan pada Januari.
“Sekiranya anda mendapati diri dalam situasi yang akan ditangkap, boleh tekan butang amaran dan ia akan menghantar isyarat kepada konsulat terdekat,” katanya.
Pihak berkuasa AS diwajibkan untuk memberi notis kepada konsulat negara asal apabila warga asing ditahan.
Mexico berkata, ia meningkatkan kakitangan konsular dan bantuan guaman untuk membantu pendatang dalam proses undang-undang yang berkaitan dengan pengusiran.
Kerajaan turut menyediakan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam sehari untuk menjawab pertanyaan daripada migran.
Kerajaan Mexico menganggarkan terdapat 11.5 juta pendatang yang bermastautin secara sah di AS, dan 4.8 juta lagi tanpa dokumentasi.
































