BERLIN: Dua maut termasuk seorang kanak-kanak, manakala lebih 60 yang lain cedera selepas sebuah kereta merempuh orang ramai di pasar Krismas di Jerman, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, insiden yang dianggap serangan keganasan itu berlaku di bandar Magdeburg, yang terletak kira-kira 150 kilometer di barat Berlin.
Menurut kerajaan bandar itu, sekurang-kurangnya 68 orang cedera, termasuk 15 dilaporkan kritikal.
Pemimpin Saxony-Anhalt, Reiner Haseloff menyifatkan kejadian itu sebagai mengerikan, apatah lagi menjelang perayaan Krismas.
Haseloff berkata, pemandu kereta terbabit merupakan seorang doktor dari Arab Saudi kini ditangkap untuk membantu siasatan.
Katanya, suspek seorang perunding psikiatri yang berusia 50-an sudah tinggal di Jerman sejak 2006 dan diiktiraf sebagai pelarian pada 2016.
“Setakat ini, dia adalah pelaku tunggal. Maka, tiada lagi bahaya kepada bandar,” katanya.
Suspek didakwa menyewa kereta itu beberapa saat sebelum kejadian, menurut laporan yang memetik sumber keselamatan.
Polis giat menjalankan siasatan di bandar Bernburg, di selatan Magdeburg, tempat di mana suspek dipercayai tinggal.
Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi mengutuk serangan tersebut.
Manakala, Canselor Jerman, Olaf Scholz menitipkan kata-kata semangat kepada mangsa terlibat melalui hantaran di platform X, dan memaklumkan akan ke lokasi kejadian pada Sabtu bersama Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser.
Ketika berita kejadian tersebar, jutawan terkenal, Elon Musk mengkritik Scholz dan menggesa beliau untuk meletak jawatan.


































