ISTANBUL: Lautan Artik mungkin mengalami hari pertama tanpa ais seawal tahun 2027, menurut kajian baharu yang memberi amaran tentang perubahan membimbangkan terhadap iklim global.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan kajian diterbitkan Nature Communications, walaupun dalam senario paling optimistik, penyelidik memberi amaran bahawa penanda suram untuk planet ini tidak dapat dielakkan dalam tempoh dua dekad akan datang.
“Hari pertama tanpa ais do Artik tidak akan membawa perubahan mendadak.
“Tetapi ia menunjukkan bahawa kita telah mengubah salah satu ciri semula jadi Lautan Artik yang selama ini diliputi ais laut dan salji sepanjang tahun akibat pelepasan gas rumah hijau,” kata pakar klimatologi Universiti Colorado Boulder, Alexandra Jahn.
Ais laut Artik yang semakin menyusut, lebih daripada 12 peratus setiap dekad sejak pemantauan satelit bermula pada 1979, memainkan peranan penting dalam mengawal suhu global dan menyokong ekosistem marin.
Fenomena ini menjadikan Artik empat kali lebih panas berbanding purata global, menimbulkan ancaman besar kepada keseimbangan iklim dunia.
Berdasarkan 11 model iklim dan 366 simulasi, kajian itu menganggarkan Lautan Artik tanpa ais boleh berlaku dalam tempoh tiga hingga enam tahun jika keadaan panas luar biasa berterusan.
Kebanyakan senario menjangkakan peristiwa ini berlaku pada 2030-an, menekankan kepentingan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
“Kita perlu bersedia kerana hari bebas ais pertama kemungkinan berlaku lebih awal daripada bulan bebas ais pertama,” kata penulis utama kajian, Celine Heuze, seorang penyelidik klimatologi dari Universiti Gothenburg, Sweden.
Walaupun penemuan kajian ini mencemaskan, namun para penyelidik menekankan pengurangan ketara dalam pelepasan karbon boleh menangguhkan pencapaian hari bebas ais tersebut dan mengurangkan kesan lebih besar kepada planet.


































