Azizah Mohd. Dun
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun menekankan pentingnya pemimpin dan rakyat Sabah terus bersatu dalam mempertahankan hak-hak negeri, tanpa terpengaruh oleh desakan atau tuduhan tidak berasas.
Azizah, yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort, memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menurutnya telah membawa banyak perubahan positif walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
Beliau menyifatkan tuduhan terhadap Hajiji berkaitan isu lesen mineral sebagai tidak wajar, sambil menegaskan bahawa Ketua Menteri telah menjelaskan Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya tidak pernah mengeluarkan Lesen Melombong (Mining Lease) kepada mana-mana pihak.
“Hajiji telah menyatakan bahawa dakwaan Lesen Melombong telah diberikan adalah tidak benar. Setakat ini, Kerajaan hanya mengeluarkan Prospecting License, iaitu untuk tujuan penerokaan dan pengumpulan data geomineral. Ini adalah langkah awal sebelum permohonan Lesen Melombong daripada syarikat yang layak dipertimbangkan,” jelasnya.
Azizah turut menegur pihak tertentu yang menjadikan isu ini sebagai alat propaganda politik dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik negeri.
“Hajiji juga telah menjelaskan bahawa permohonan tersebut melibatkan kawasan hampir 1 juta ekar, yang sebahagian besarnya adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected Areas), kawasan tadahan air, dan kawasan pemeliharaan,” katanya.
Beliau mengkritik segelintir pihak yang lebih berminat menjatuhkan pemimpin Sabah daripada memperjuangkan hak rakyat negeri.
“Adakah salah untuk mempertahankan hak Sabah? Kita memerlukan pemimpin berjiwa besar yang berjuang untuk masa depan anak-anak Sabah dan kemajuan negeri,” tegasnya.
Azizah menyeru semua pemimpin Sabah untuk terus menyokong usaha memastikan hasil bumi negeri dikembalikan kepada rakyat Sabah.
Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap berat sebelah sesetengah pihak yang mendesak Ketua Menteri meletakkan jawatan, sedangkan pemimpin lain yang menghadapi tuduhan di mahkamah masih kekal memegang jawatan.
“Pemimpin yang menghadapi tuduhan serius di mahkamah tidak pula diminta meletakkan jawatan. Mengapa ini tidak menjadi perhatian?” soalnya.
Azizah memuji pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji, seperti Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk golongan kurang mampu, pemberian bantuan bulanan RM300 kepada keluarga memerlukan mulai tahun hadapan, dan bayaran khas RM1,000 kepada pesara sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Ini adalah ciri seorang pemimpin yang baik. Hasil negeri dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat Sabah. Kita seharusnya bersyukur dan menyokong usaha ini,” katanya.
Beliau turut menggesa generasi muda dan pemimpin baharu supaya bersikap matang dan menilai sesuatu situasi secara rasional sebelum mengeluarkan kenyataan atau keputusan yang boleh memecahbelahkan negeri.
“Jika benar mahu menjadi pemimpin Sabah, tanamkan tekad memperjuangkan hak rakyat Sabah. Jangan mudah terpedaya atau dipengaruhi pihak luar yang tidak memahami keperluan sebenar negeri ini,” ujar Azizah.


































