Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan memikul cabaran negara dalam acara beregu campuran Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou China, bulan ini.
KUALA LUMPUR: Penampilan untuk kedua kali pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China sememangnya memberi satu keyakinan baharu buat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam perjalanan mereka memulakan musim 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun enggan mengenang kisah lalu selepas gagal mara ke separuh akhir pada kejohanan edisi lalu, sebaliknya tekad membuktikan pukulan terbaik pada pertandingan yang menjadi penutup tirai untuk tahun ini.
Justeru, Ee Wei menekan mereka enggan selesa dengan kedudukan di ranking keempat Jelajah Dunia, memandangkan tujuh pasangan lawan yang akan bertanding adalah pencabar terkuat musim ini.
“Setiap lawan yang berada di pentas ini (Jelajah Dunia Akhir) semestinya yang terkuat kerana hanya lapan beregu terbaik untuk layak ke sini. Jadi kami tidak akan bergantung kepada undian. Kami sangat gembira dapat melayakkan diri sekali lagi pada tahun ini.
“Seperti yang selalu saya katakan, kami akan berjuang habis-habisan di gelanggang dan saya bersama Tang Jie percaya kami mampu mencapai sesuatu yang hebat,” kata Ee Wei kepada pemberita ketika majlis penajaan Kumpulan Affin bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara Affin, kelmarin.
Selain beregu no. 8 dunia itu, satu lagi pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara ke Jelajah Dunia Akhir selepas menamatkan perlumbaan ke Hangzhou di carta ketiga dalam ranking Jelajah Dunia.
Kejohanan terakhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.11 juta) secara keseluruhan dengan kategori beregu campuran menyaksikan juara akan membawa pulang sebanyak AS$210,000 (RM933,866)
Naib juara turut akan membawa pulang AS$100,000 (RM444,723) manakala pasangan yang berjaya mara ke separuh akhir dalam semua kategori akan menerima AS$50,000 (RM222,361).
































