BRUSSELS: Kerajaan Belgium meluluskan undang-undang baharu yang memberikan hak kepada pekerja seks manfaat cuti bersalin, insurans kesihatan, pencen dan cuti sakit.
Menurut Utusan Malaysia, langkah ini menjadikan Belgium negara pertama di dunia yang memperkenalkan manfaat tersebut untuk pekerjaan itu.
Mei lalu, ahli Parlimen meluluskan undang-undang yang memberikan perlindungan pekerjaan yang sama kepada pekerja seks, sebagai usaha membanteras penyalahgunaan dan eksploitasi.
Undang-undang yang berkuat kuasa semalam, memastikan pekerja seks turut mendapat kontrak pekerjaan dan perlindungan undang-undang.
Undang-undang baharu itu kononnya memberikan peluang kepada pekerja seks untuk bekerja dengan lebih selamat dan terjamin.
Pelacuran telah didekriminalisasi di Belgium sejak 2022 dan merupakan pekerjaan sah di beberapa negara lain seperti Jerman, Greece, Belanda dan Turkiye.
Namun, memperkenalkan kontrak pekerjaan rasmi adalah langkah pertama seumpamanya di dunia.
Di bawah undang-undang, pekerja seks mempunyai hak untuk menolak pasangan seksual atau melakukan perbuatan tertentu dan boleh menghentikan perbuatan pada bila-bila masa.
Mereka juga tidak boleh dipecat kerana penolakan tersebut.
Bagaimanapun, undang-undang itu mencetuskan kritikan, terutamanya daripada NGO yang membantu pekerja seks.
Julia Crumière dari NGO Isala berpendapat, langkah ini hanya mengiktiraf pekerjaan yang dianggap sebagai eksploitasi.
“Pekerjaan ini pada dasarnya penuh dengan keganasan. Normalisasi pelacuran sebagai kerjaya adalah berbahaya,” katanya.
Dengan undang-undang baharu ini, tempat kerja pekerja seks diwajibkan memiliki butang kecemasan yang terus menghubungkan pekerja kepada individu rujukan.
Majikan yang mengawal pekerja seks kini dibenarkan beroperasi secara sah, tetapi mereka mesti mematuhi peraturan ketat dan mereka yang mempunyai rekod jenayah serius tidak dibenarkan menggaji pekerja seks.
































