Kenneth Jonassen menjadikan misi memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles sebagai sasaran utamanya untuk skuad badminton negara.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan remaja negara, Siti Zulaikha Azmi dan Eogene Ewe tidak sabar mahu memulakan latihan di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Kenneth Jonassen.
Menurut Utusan Malaysia, Eogene yang ketika ini menghuni ranking ke-103 dunia berkata, dia teruja dengan pengendali dari Denmark yang akan memperkenalkan gabungan corak permainan Eropah dan Asia, sekali gus membantunya untuk menembusi kelompok 64 terbaik dunia, tahun depan.
“Saya gembira melihat jurulatih dari Eropah menyertai barisan kejurulatihan negara. Mereka mempunyai budaya latihan yang berbeza daripada kita.
“Beliau (Jonassen) berkata latihan di Denmark sangat berdisiplin. Jadi saya rasa kaedah gabungan dari Eropah dan Asia akan membantu mencapai sasaran saya pada 2025,” kata Eogene.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita yang sedang meningkat naik, Siti Zulaikha berkata kehadiran bekas ketua jurulatih Denmark itu, mampu membawa perubahan dari segi keputusan yang lebih baik kepadanya menjelang musim depan.
“Saya mahu memperbaiki keputusan dan prestasi saya. Setakat ini, saya hanya menyertai kejohanan Siri Antarabangsa (IS) untuk meningkatkan kedudukan ranking saya.
“Saya berharap ranking saya dapat melonjak ke kedudukan 100 terbaik dunia tidak lama lagi,” kata Siti yang menghuni di ranking ke-117.
Untuk rekod, Siti Zulaikha menamatkan musim 2024 dengan gemilang selepas muncul juara pada Malaysia IS awal bulan lalu serta bergelar naib juara di Sri Lanka IS.
Jonassen yang sudah pulang ke tanah airnya, semalam akan kembali ke Malaysia untuk membimbing perseorangan negara pada 4 Januari depan.