PASIR MAS: Bayi berusia setahun dari Chabang Empat, Tumpat menjadi korban ketiga banjir sejak musibah itu melanda negeri ini bermula Isnin selepas ditemukan lemas kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, bayi berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam air banjir di tingkat bawah rumah keluarganya selepas bangun daripada tidur di tingkat atas kediaman tersebut kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, semasa kejadian ibunya yang berusia 41 tahun sedang tidur bersama mangsa di tingkat atas rumah tersebut sebelum tersedar bayi itu tiada di sisi.
Menurutnya, wanita berkenaan terus mencari bayinya itu dan mendapati sofa yang digunakan untuk menahan tangga di tingkat atas rumahnya telah terusik.
“Ibu mangsa terus turun ke tingkat bawah sebelum mendapati anaknya sudah berada dalam keadaan terapung di dalam air banjir.
“Panik dengan situasi tersebut, wanita itu meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya keluar dengan perahu ke Jambatan Kubang Panjang,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pondok Polis Repek di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pemeriksaan di Hospital Tumpat mendapati, bayi itu sudah meninggal dunia semasa berada di rumahnya lagi.
Katanya, itu menjadi korban ketiga banjir dalam tempoh lima hari musim tengkujuh di Kelantan.
“Terdahulu, seorang lelaki berusia 33 tahun terkena renjatan elektrik di Pasir Puteh, selepas itu warga emas berusia 64 tahun di Machang.
“Justeru, semua mangsa banjir diingatkan agar terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya air sudah memasuki kawasan rumah bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” ujarnya.