Ariel (tengah) dimahkotakan sebagai Miss Kebaya World 2024.Turut kelihatan, Senator Datuk Seri Dr. Zurainah Musa (tengah Kiri), Dr. Jason Hee (tengah kanan), Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Timbalan Pengarah Kanan Pelancongan Malaysia,Mohd Akbal Setia.
GENTING HIGHLAND: Ariel Peiyu Yao dari China dimahkotakan sebagai juara Miss World Kebaya pada pertandingan sempena Festival Kebaya Dunia 2024 yang berlangsung di Wyndham Ion Majestic, di sini, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Doktor Falsafah (Phd) bidang Pentadbiran Perniagaan dan usahawan dari Wilayah Yunnan itu, turut merangkul gelaran Miss Body Beautiful dan menewaskan sembilan peserta lain dari Malaysia, Indonesia, Korea, Sudan, Russia, Kazakhstan, Afrika, Singapura dan Syria.
Tempat Kedua dimenangi oleh peserta dari Kazakhstan, Rauan Kassymova dan tempat ketiga diraih oleh peserta dari Syria, Zainab Alkabbani.
Manakala peserta dari Malaysia, Siti Nur Afifah Zafirah menduduki tempat ke empat dan kelima, Maria dari Russia yang turut dinobatkan sebagai Most Elegant Queen.
Teaghan Williams dari Afrika Selatan dinobatkan sebagai Most Friendly Queen dan Most Catwalk Queen pula dimenangi oleh peserta dari Indonesia, Claudya Florenz Indra.
Yao,28, berkata, beliau berbangga dengan kemenangannya kerana sudah melakukan persiapan rapi sejak awal lagi malah pertandingan seumpama ini bukanlah yang pertama baginya.
“Setiap tahun saya akan menyertai satu pertandingan ratu cantik yang mana ia membantu kemenangan saya kali ini. Ibubapa saya sentiasa memberikan sokongan dengan apa yang saya minati.
“Kemenangan ini membuka peluang kepada saya untuk bekerjasama dengan penganjur selama setahun seperti menjalankan promosi untuk mereka tetapi saya mempunyai komitmen sepenuh masa dalam perniagaan saya sendiri, ” katanya kepada media.
Hadiah untuk juara berupa mahkota, sejambak bunga dan selempang disampaikan oleh Senator Datuk Seri Dr. Zurainah Musa. Pemenang juga menerima hadiah barangan kecantikan daripada penaja.
Turut hadir menyampaikan hadiah,
Timbalan Pengarah Kanan Pelancongan Malaysia, Mohd Akbal Setia, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman, Pengarah, Miss World Kebaya and Miss Friendship International 2023, Nicole Fe Lynne, Presiden dan Pengerusi Penganjur Miss World 2024, Dr.Jason Hee.
Dr. Jason berkata, Festival Kebaya Dunia berlangsung selama 10 hari sejak 23 November lalu bagi meraikan kekayaan warisan budaya negara untuk dikongsikan di seluruh dunia.
“Diperkenalkan sejak 2011, ia lebih daripada sekadar kecantikan baju kebaya. Kita mahu pakaian tradisi yang unik ini diperkenalkan kepada seluruh dunia. Bagaimanapun festival ini tertunda pada tahun 2019 apabila Pandemik Covid 19 melanda.
” Akhirnya pada 2024, festival ini kembali selepas kami melawat banyak negara untuk memperkenalkannya. Tahun ini kami menerima 15 penyertaan tetapi hanya tinggal sembilan kerana yang lain tidak dapat datang ke sini, “katanya.