BANGKOK: Banjir besar di selatan Thailand mengorbankan sembilan nyawa dan menyebabkan empat hospital terpaksa di tutup di Patani
Menurut Utusan Malaysia, pasukan penyelamat menggunakan bot dan jet ski dalam usaha menyelamatkan penduduk yang terkandas.
Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk mengharungi air banjir paras dada dengan puluhan kereta di jalan raya yang ditenggelami air.
“Banjir merentasi lapan wilayah di selatan Thailand telah menjejaskan 553,921 isi rumah dan meragut sembilan nyawa, mendorong agensi untuk menggerakkan bantuan segera,” menurut agensi itu dalam kenyataan di Facebook.
Lebih 13,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak Jumaat lalu dan berada di pusat pemindahan sementara di sekolah dan kuil.
Air melebihi paras di sepanjang Sungai Pattani dan Sungai Sai Buri turut menyebabkan Hospital Nong Chik, Yaring,Thung Yang Daeng dan Mae Lan ditutup sementara.
Pengarah Kesihatan Awam Pattani, Dr. Anurak Saraparb berkata, pesakit di hospital terbabit sudah dipindahkan ke hospital lapangan.
“Doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan dihantar untuk memeriksa pesakit yang dipindahkan,” katanya kepada media.
Dalam pada itu Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran berkenaan hujan sangat lebat yang boleh menjejaskan beberapa kawasan di selatan negara itu hingga minggu depan.
Kerajaan mengerahkan pasukan penyelamat untuk membantu penduduk terjejas banjir dan memperuntukkan 50 juta baht (RM6.4 juta) sebagai bantuan banjir bagi setiap wilayah.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menerusi laman X memaklumkan, beliau akan berusaha memulihkan keadaan secepat mungkin.
Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, saintis berpendapat perubahan corak cuaca lebih ketara juga boleh menyebabkan banjir besar.