Thierry Neuville dan pemandu arah, Martijn Wydaeghe meraikan kemenangan bersama kru pasukan selepas disytiharkan juara dunia sebaik berakhir Rali Jepun, Ahad.
TOKYO: Pelumba Belgium, Thierry Neuville memenangi gelaran dunia pertamanya pada usia 36 tahun selepas kereta pencabarnya Ott Tanak terbabas pada perlumbaan akhir musim Rali Jepun, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Tanak terbabas daripada trek lumba pada hari penentuan, semalam dan bermakna dia sudah gagal untuk memintas kedudukan Neuville selaku pendahulu kejuaraan.
Sementara Neuville menghabiskan perlumbaan dengan meraih 25 mata, mengatasi Tanak yang juga merupakan rakan sepasukan Estonia Hyundai itu dan juga bekas juara dunia 2019.
“Jujurnya, ia datang mengejut. Saya tidak mampu bercakap apa-apa pada masa itu tetapi saya merasakan kami patut menjadi juara. Tahun ini sangat mencabar dan sukar,” kata Neuville yang sebelum ini merupakan naib juara dunia sebanyak lima kali sepanjang kariernya.
Dalam perlumbaan, Ahad, Tanak memimpin pelumba lain tetapi keretanya terbabas ketika melalui selekoh tajam di wilayah tengah Jepun itu.
Dia hanya berdiam diri di sebelah pemandu arahnya, Martin Jarveoja seketika sebelum keluar dari kenderaan yang tidak boleh bergerak.
Dia dan Jarveoja bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu.
































