Kenneth Jonassen menjadikan misi memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles sebagai sasaran utamanya untuk skuad badminton negara.
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih badminton perseorangan negara Kenneth Jonassen menjadikan misi memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles sebagai sasaran utamanya untuk skuad kebangsaan.
Menurut Utusan Malaysia, warga Denmark berusia 50 tahun itu yang akan memulakan tugasanya pada Januari ini berkata, sebelum memulakan perjalanan jauh yang diakuinya cukup mencabar, beliau terlebih dahulu mahu mengenali lebih rapat para pemain yang diletakkan di bawah bimbingannya nanti.
“Sasaran kita sudah tentu memburu pingat emas pertama Olimpik tetapi terlalu awal untuk kita membuat ramalan tentang perjalanan jauh selama empat tahun itu.
“Saya sendiri perlu melakukan penyelidikan terhadap para pemain dan amat penting untuk saya terlebih dahulu meraih keyakinan mereka agar saya mampu mengenal potensi mereka,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, semalam.
Jonassen yang akan menamatkan khidmatnya sebagai ketua jurulatih perseorangan Denmark pada Disember ini memberitahu, Malaysia memiliki pemain perseorangan lelaki yang berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi dan Justin Hoh antara pemain yang mencuri perhatiannya.
“Saya mula mengenali Justin pada Piala Thomas lalu, saya dapat melihat potensi besar yang dimilikinya sewaktu dia diturunkan sebagai perseorangan ketiga menentang Denmark.
“Malaysia juga memiliki Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong yang saya lihat merupakan pemain yang sangat mencabar, skil serta bakat mereka sangat besar, saya tidak sabar untuk beri sentuhan pertama kerana saya yakin kita akan temui bakat unik pemain-pemain ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai perseorangan wanita pula, menurut Jonassen, beliau difahamkan pemain yang berada di dalam senarai ABM merupakan pemain-pemain muda.
Jelasnya, pendekatan berbeza perlu digunakan berbanding perseorangan lelaki dan mengakui cabaran lebih berat menantinya untuk melahirkan jaguh wanita.
“Sasaran kita untuk membawa pemain ke tahap tertinggi, saya perlu mengenali mereka untuk mengetahui lebih dekat impian dan keinginan pemain-pemain ini, ia akan ambil masa,” tegasnya.
Jonassen berkata, beliau bukanlah seorang jurulatih yang terus memberikan arahan sebaik memulakan tugasnya nanti kerana penting untuknya memahami budaya dan cara berkomunikasi dengan pemain serta pasukan kejurulatihan.
Beliau yang akan meraikan sambutan Krismas di Malaysia bersama keluarganya akan memulakan tugas pertama pada Terbuka Malaysia bermula 7-12 Januari depan.
































