Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sentiasa peka dan berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan setiap permohonan berkaitan tanah dan melaksanakan pengukuran Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di seluruh daerah di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri telah memberi keutamaan kepada pemberimilikan tanah adat melalui Program PANTAS sejak tahun 2011.
Katanya, setakat 31 Oktober 2024 sebanyak 233,043 geran tanah anak negeri Native Title/Field Register (NT/FR) berkeluasan 1,225,088 hektar telah dikeluarkan yang mana merupakan 45 peratus keluasan keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah.
“Ini berbanding dengan pada tahun 2011 iaitu seluas 477,171 hektar ataupun 25 peratus sahaja daripada keluasan keseluruhan geran tanah yang berdaftar,” katanya semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Rabu.
Beliau memberi respons kepada cadangan Jannie Lasimbang (Kapayan) yang memohon agar penyerahan geran tanah adat dipercepatkan.
Kepada isu dibangkitkan oleh Ewon Benedick, Hajiji berkata JTU akan menjalankan pemeriksaan dan pengesahan di lapangan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2025 di 10 buah kampung yang disenaraikan di kawasan DUN Kadamaian.
Berkenaan isu pewartaan kawasan kediaman anak negeri di Kg. Unta, Kg. Pancuran, Kg. Wawasan I dan II, Kg. Damai I dan II serta Kg. Dusun oleh Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Ketua Menteri berkata pewartaan kawasan kediaman anak negeri bagi kampung-kampung tersebut tidak dapat dipertimbangkan kerana termasuk dalam tanah bergeran dan kawasan tadahan air.
































