BANGKOK: Seorang wanita Thailand yang dipercayai antara pembunuh bersiri paling kejam dalam sejarah kerajaan itu, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana meracuni rakannya dengan sianida, dalam perbicaraan pertama daripada 14 kes pembunuhannya.
Menurut Utusan Malaysia, Sararat Rangsiwuthaporn, 36, yang mengalami masalah ketagihan judi dalam talian, dituduh menipu beribu-ribu dolar daripada mangsanya sebelum membunuh mereka dengan bahan kimia itu.
Mahkamah di Bangkok mensabitkan kesalahannya kerana meracun rakannya, Siriporn Kanwong sehingga mati.
Kedua-duanya bertemu berhampiran Bangkok pada April tahun lalu untuk melepaskan ikan ke dalam Sungai Mae Klong sebagai sebahagian daripada upacara Buddha.
Siriporn rebah dan meninggal dunia tidak lama kemudian dan penyiasat menemui kesan sianida dalam tubuhnya.
Polis kemudian dapat mengaitkan Sararat dengan keracunan sianida yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini sejak 2015, kata pegawai.
“Keputusan mahkamah adalah adil. Saya ingin sekali memberitahu anak perempuan saya bahawa saya amat merinduinya dan keadilan telah dilakukan untuknya hari ini,” kata ibu Siriporn, Tongpin Kiatchanasiri, memberitahu pemberita berikutan keputusan itu.
Polis berkata, Sararat membiayai ketagihan judiannya dengan meminjam wang daripada mangsanya, dalam satu kes sebanyak 300,000 baht (RM38,595) sebelum membunuh mangsa dan mencuri barang kemas serta telefon bimbit mereka.
Dia memikat 15 orang tetapi seorang mangsanya terselamat daripada mengambil kapsul herba beracun yang digunakan untuk membunuh mereka.
Sararat menghadapi 13 lagi perbicaraan pembunuhan berasingan, dan telah didakwa dengan kira-kira 80 kesalahan secara keseluruhan.
Bekas suaminya, seorang leftenan kolonel polis dihukum penjara 16 bulan sementara bekas peguamnya menerima hukuman dua tahun penjara kerana bersubahat dalam pembunuhan Siriporn, kata peguam keluarga mangsa.
































