Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) telah merancang untuk menggerakkan program di enam daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar pada tahun depan
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, aktiviti-aktiviti tersebut ialah seperti mekanisasi dan modenisasi penanaman padi memandangkan pada masa kini masih ramai petani yang menggunakan kaedah konvensional dalam penanaman padi.
Ini selain meningkatkan dan membaikpulih saliran dan pengairan; menanam padi sekurang-kurangnya dua musim (kempen penanaman padi dua kali setahun); menggunakan benih padi baharu High Yield Variety (HYV) iaitu TR8; menjalankan kursus, latihan dan kempen untuk mengubah sikap petani-petani agar bersikap komersial dan melihat pertanian sebagai perniagaan yang menguntungkan; memulihkan dan mengaktifkan semula tanah-tanah yang terbiar; dan membuka tanah-tanah baharu.
Menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin, Dr. Jeffrey berkata, Kementerian mensasarkan untuk meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) padi kepada 30 peratus tahun 2027 dan seterusnya 60 peratus menjelang 2030.
“Walaupun menghadapi kekangan kewangan, Kementerian saya bersama jabatan dan agensi di bawahnya telah membuat perancangan untuk mencapai keterjaminan makanan.
“Antara tumpuan Kementerian saya ialah meningkatkan pengeluaran padi dan Kadar Sara Diri (SSR). Dalam usaha ini, LPBS telah ditubuhkan (diwartakan melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah pada 23 Mei 2024) bertujuan memodenkan industri padi dan beras dengan peruntukan berjumlah RM32.5 juta.
“Dalam jangka masa dua hingga tiga tahun iaitu menjelang 2027, adalah diharapkan agar SSR padi akan meningkat ke 30 peratus dan seterusnya 60 peratus menjelang 2030.”
Dr. Jeffrey berkata, Kerajaan juga akan memfokus kepada peningkatan ruminan.
Katanya, pada masa kini SSR ruminan ialah 7.6 peratus dan menjelang 2030, SSR dijangka meningkat ke 25 peratus.
“Peningkatan SSR ini adalah hasil intervensi import untuk meningkatkan baka, penggunaan Artificial Insemination (AI) dan kolaborasi dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Jabatan Veterinari Sabah (DVS) akan terus melaksanakan program bantuan baka ternakan kepada penternak. Pada tahun 2025, kita akan mengagihkan sebanyak 950 ekor lembu brahman import, 1,250 ekor bebiri dan kambing import, 50 ekor lembu tempatan dan 100 ekor kambing tempatan penternak kecil, semi-komersial dan komersial di seluruh Sabah.”
Kerajaan turut menumpukan perhatian kepada peningkatan bekalan ayam melalui kolaborasi Private Public Partnership (PPP) dan telah bekerjasama dengan MARDI untuk membangunkan Ladang Pembiakbakaan Ayam Saga di Bantayan, Tuaran.
Tujuan utama adalah untuk menjadi pembekal anak ayam kepada penternak di Sabah dengan matlamat untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar negara, kata Dr. Jeffrey.
“Bagi mencapai matlamat, dasar dan visi Kerajaan termasuk sektor pertanian, kita tidak boleh mengamalkan mentaliti dan sikap iaitu BAU (business as usual) kerana Albert Einstein menyatakan bahawa insanity is doing the same thing over and over again and expecting different result.
“Kita perlu berfikir di luar kotak (think outside the box) dan membuat perubahan dari segi sikap dan tindakan bukan seperti yang kita lihat sekarang. Tiada guna kita merancang agenda pembangunan yang besar tapi tidak memberi sokongan dan peruntukan yang setimpal kerana dia hanyalah impian.
“Kita akan gagal mencapai matlamat kita sekiranya kita terus bersikap sedemikian. Jika kekangan kewangan menjadi penghalang, carilah penyelesaian yang kreatif. Satu daripadanya adalah menarik pelaburan, yang kedua, carilah sumber kewangan yang baru, ketiga, yang paling penting sekali adalah mendapat kembali hak-hak kewangan kita termasuk 40 peratus hasil kewangan, 10 peratus eksport duty dan petroleum produk.
“Hak kewangan 40 peratus bukanlah sedikit dan bukan RM600 juta tetapi dalam kiraan saya, dalam tahun ini sahaja, adalah lebih kurang RM20 billion. Bukankah jumlah ini worth fighting for? Jika kita berjaya, ini akan mampu menyelesaikan keperluan dan masalah pembangunan kita. Kita hanya boleh berjaya sekiranya kita bersatu dan bekerjasama untuk menuntut hak kita sama ada di sebelah sini atau di seberang sana atau rakyat di luar sana, kita perlu bersatu.
“Dalam perkara ini, unity is duty. Kita tidak boleh berharap dengan orang lain untuk menuntut hak kita, sebab mereka tiada hati untuk kita. Kita perlu bersatu, kerana kalau bukan kita siapa lagi. Sebagai contoh, sekiranya kita menginginkan pembangunan dan kemajuan, kita perlu mengambil tindakan iaitu menyediakan kewangan yang setimpal dan melaksanakan tindakan yang efektif. Jika kekangan kewangan menjadi penghalang, saya secara peribadi melihat perkara ini sebagai keterbatasan yang menghadkan pembangunan masyarakat. Oleh itu, kita perlu bersatu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap keterbatasan tersebut.
“Antara jalan penyelesaian tersebut ialah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin dan rakyat mesti bersatu untuk menuntut hak kewangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan kewangan tersebut adalah hak kita. Inilah masanya kita perlu bersatu hati dan mengambil tindakan bersama untuk menuntut hak kewangan tersebut. Saya menganggarkan bahawa nilai yang berhak diperolehi oleh kita pada tahun ini adalah lebih kurang RM20 billion.
“Berdasarkan pemerhatian saya, sikap pemimpin dan Kerajaan Pusat masih berada di takuk lama iaitu business as usual. Sebagai contoh, peruntukan Pembangunan Negeri Sabah dan Sarawak hanyalah 6 hingga 7 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan. Sebahagian besar peruntukan Pembangunan masih lagi Malaya Centric iaitu peruntukan Pembangunan tertumpu di wilayah Semenanjung,” kata Dr. Jeffrey.
































