WASHINGTON: Tujuh negeri medan pertempuran – Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, North Carolina, Pennsylvania dan Wisconsin – dijangka memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, berikut adalah 10 daerah yang harus diperhatikan di negeri-negeri ini.
Kawasan tersebut boleh menjadi petunjuk ke arah mana negeri-negeri ini — dan mungkin pilihan raya keseluruhannya — akan berpihak.
DAERAH MARICOPA, ARIZONA
Terletak di Phoenix, daerah Maricopa, Arizona, sangat penting untuk kemenangan di negeri barat daya kerana ia merangkumi kira-kira 60 peratus undi di seluruh negeri.
Dalam pilihan raya 2020, Presiden Joe Biden memenangi daerah ini dengan perbezaan 2.2 mata peratusan, manakala calon Republikan, Donald Trump memenangi hampir 3 mata peratusan pada 2016.
DAERAH COBB, GEORGIA
Daerah Cobb yang luas dan berbilang kaum di pinggir utara Atlanta merupakan kawasan di mana Demokrat berpotensi meraih sejumlah besar undi yang diperlukan untuk memenangi negeri itu.
Biden berjaya di sini dalam pilihan raya 2020 dengan kemenangan sekitar 14 mata peratusan.
Pada 2016, calon Demokrat, Hillary Clinton yang menang di Cobb dengan perbezaan dua mata peratusan dan tewas di peringkat negeri kepada Trump.
DAERAH BALDWIN, GEORGIA
Di tengah Georgia, daerah Baldwin lebih kecil daripada Cobb tetapi dianggap penting sebagai petunjuk kepada penyertaan pengundi kulit hitam, yang merangkumi kira-kira 40 peratus.
Ini adalah salah satu kawasan di Georgia, di mana margin kemenangan Biden pada 2020 lebih kecil berbanding Clinton pada 2016.
DAERAH WAYNE, MICHIGAN
Rumah kepada 1.7 juta penduduk Detroit, daerah Wayne terdiri daripada 40 peratus pengundi kulit hitam.
Biden memenangi daerah itu dengan lebih 68 peratus undi pada 2020, membantu beliau menguasai negeri tersebut.
DAERAH WASHOE, NEVADA
Terletak di sudut barat laut Nevada di sekitar Reno, daerah Washoe kurang berbilang kaum berbanding kawasan Las Vegas, tetapi dalam pilihan raya terkini, kecenderungannya semakin memihak kepada Demokrat.
Biden menang di daerah itu dengan lebih empat mata peratusan pada 2020 berbanding Trump.
DAERAH WAKE, NORTH CAROLINA
Kota Raleigh di daerah Wake meningkatkan jumlah keluar mengundi seluruh negeri untuk Demokrat dalam pilihan raya baru-baru ini, seperti yang berlaku pada 2020 apabila Biden memenangi 65 peratus undi di kawasan itu.
Namun, ia masih tidak mencukupi untuk menghalang Trump daripada memenangi negeri itu pada tahun yang sama.
DAERAH ERIE, PENNSYLVANIA
Daerah Erie di barat laut Pennsylvania mengundi calon presiden yang menang dalam empat pilihan raya terakhir, termasuk Biden pada 2020 apabila beliau memenangi daerah ini dengan margin satu mata peratusan.
Pada 2016, Trump memenangi daerah tersebut dengan dua mata peratusan.
DAERAH BUCKS, PENNSYLVANIA
Di utara Philadelphia, daerah Bucks merupakan kawasan yang sangat kompetitif kerana populasi pengundi kelas pekerja – kumpulan demografi yang menjadi penyokong kuat Trump sejak lapan tahun lalu.
Trump berusaha untuk menawan semula negeri ini seperti yang dilakukan pada 2016, tetapi Biden memenangi daerah itu pada 2020 dengan margin empat mata peratusan, menyumbang kepada kemenangan beliau di Pennsylvania.
DAERAH CUMBERLAND, PENNSYLVANIA
Pinggir bandar Harrisburg menyokong Trump dalam dua pilihan raya lalu. Tetapi, Demokrat boleh mengurangkan penguasaan tersebut di daerah Cumberland dengan menarik populasi pekerja kolar putih yang semakin meningkat di kawasan tersebut.
Pada 2020, Trump memenangi daerah ini sebanyak 11 mata peratusan.
DAERAH WAUKESHA, WISCONSIN
Pinggir bandar Milwaykee yang padat penduduk di daerah Waukesha merupakan kubu kuat untuk Trump dalam dua kempen terakhirnya.
Trump memenangi daerah tersebut dengan lebih 20 mata peratusan dalam kedua-dua pilihan raya sebelum ini.
Pengundi di kawasan itu perlu mengundi Trump sekali lagi dengan momentum sama jika Republikan mahu menawan kembali Wisconsin yang dimenangi Biden pada 2020.






























