Calon Presiden Republikan, Donald Trump ketika berucap pada perhimpunan kempen di Milwaukee, Wisconsin, kelmarin.
WASHINGTON: Demokrat bersedia menghadapi ‘taktik’ calon Presiden Republikan, Donald Trump untuk mengisytiharkan kemenangan pilihan raya lebih awal, seperti yang berlaku pada 2020.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai kempen Demokrat berkata, parti itu bersedia untuk memberikan respons pantas yang menyarankan pengundi kekal tenang dan sabar dengan proses pengiraan undi, sekiranya Trump mencetuskan situasi demikian.
Minggu ini, Trump mendakwa berharap dapat mengisytiharkan kemenangan pada hari pilihan raya, walaupun pakar memberi amaran mungkin ia memerlukan tempoh beberapa hari untuk keputusan akhir, terutama jika ada permintaan pengiraan semula undi di beberapa kawasan penting.
Trump sedang bersaing dalam perlumbaan yang semakin sengit dengan pencabarnya dari Demokrat, Kamala Harris.
Pemenang pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) biasanya diisytiharkan oleh media utama yang menganalisis jumlah undi disediakan pegawai pilihan raya.
Walaupun calon kadang-kadang mengisytiharkan kemenangan sebelum pengumuman rasmi, ia jarang untuk berbuat demikian sebelum keputusan pemenang jelas.
“Kami bersedia sekiranya Trump berbuat demikian dan jika kami tahu beliau sebenarnya memanipulasi media dan cuba memanipulasi konsensus rakyat Amerika… kita bersedia untuk memberi respons,” kata Harris dalam temu bual dengan ABC, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Naib Presiden AS itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai persediaan tersebut, tetapi enam pegawai kempen Parti Demokrat berkata, mereka akan berjuang menentang dakwaan kemenangan awal Trump di media awam.
Pegawai kanan kempen Harris menjangkakan Trump akan melakukan pengisytiharan kemenangan secara palsu pada malam Selasa, sebelum semua undi selesai dikira.
Pada 2020, Trump mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang pada awal pagi, sehari selepas pilihan raya, iaitu tiga hari sebelum rangkaian televisyen membuat pengumuman rasmi.
Namun, Trump akhirnya kalah kepada pencabar dari Demokrat, Joe Biden, menyebabkan beliau sehingga kini terus mendakwa kemenangan itu tidak sah dan berunsur penipuan.